Ulasan filem: THE AMAZING SPIDER-MAN 2 : RISE OF ELECTRO – Studio Punya, Bukan Pengarah Punya

Reaksi terhadap filem ini bercampur. Pada pendapat saya, filem ini taklah teruk sangat, tapi apa yang saya pegang ialah filem ni akan jadi lebih OK kalau dibuang terus bab Electro (Jamie Foxx) dan masukkan dia dalam sekuel TAS3. Fokus filem ini seharusnya pada Gwen Stacy (Emma Stone) dan Peter Parker (Andrew Garfield), kurangkan aksi biar sampai penonton tersengguk kerana saya dah jadi malas dengan cerita superhero yang penyelesaiannya ialah bergasak dan asyik bergasak.  Perbaiki penceritaan pada bab Green Goblin / Harry Osborn (lakonan Dane DeHann) kerana tak seperti Electro yang lemah pembentukannya untuk menjadi musuh Spidey, Harry punya sebab untuk terganggu emosi dengan latar sejarahnya lalu menjadi antagonis yang tepat di dalam TAS2. Dia seorang saja dah cukup sebagai musuh utama Spidey, yang lain boleh menyelit saja atau tinggalkan untuk cerita Sinister Six nanti.

Saya tiada masalah dengan gaya pengarahan Marc Webb tapi empat orang panel skrip dan cerita untuk sebuah filem Spider-Man terlalu berlebihan (dengan setiap daripada mereka mahukan autoriti), tambah pula ada Kurtzman dan Orci  (Transformers, Star Trek) yang pada saya menjadi krypton yabg menjauhkan filem ini daripada menjadi sebuah filem Spider-Man yang bagus.

Saya juga tiada masalah dengan Andrew Garfield sebagaj Peter Parker, dia memang sesuai sebab ‘selenge’, ciri-ciri Spidey bila berdepan dengan khalayak, lebih baik daripada Tobey Maguire yang terlebih dramatik sedang gandingan Andrew dan Emma di layar membentuk kimia yang sempurna.

Masalah sebenar filem ini saya lihat ialah pada marketing studio filem yang agak ‘misguided’. Melihat trailer, ramai yang menganggap watak Rhino (lakonan Paul Giamatti) bakal mengembangkan cerita ini atau setidak-tidaknya bakal memberikan aksi yang mendebarkan sedang ia cuma menyelit saja. Tapi kalian tau Rhino takkan habis takat tu saja, dan Green Goblin pun takkan habis setakat tu saja. Banyak perkara yang mengusik akan apa yg bakal berlaku pada TAS bahagian ketiga nanti.

Hakikatnya, filem superhero sebegini studio layan macam siri TV berepisod dan adalah lebih baik Marc Webb cuba memecahkan monotoni di mana dia fokus membikin sebuah filem tentang perhubungan Gwen dan Peter semata-mata yang berakhir dengan tragedi kerana tau ianya antara bab penting dalam cerita Spider-Man, itu saja, sebab Marc sejak filem (500) Days of Summer, memang handal dalam bab begitu tapi saya tau studio takkan setuju.

Anda lihat laman Facebook Humans of New York yang memaparkan warga New York yakni orang biasa? Saya membayangkan begitu pada Human Spider of New York ini. Bukan heroik, tetapi agak marhaen. Filem ini boleh jadi begitu…. sehinggalah masuk CGI yang memplastikkan segalanya.

Penilaian: 6/10

Arahan: Marc Webb
Lakonlayar: Alex Kurtzman, Roberto Orci, Jeff Pinkner.
Cerita: Alex Kurtzman, Roberto Orci, Jeff Pinkner, James Vanderbilt.
Lakonan: Andrew Garfield, Emma Stone, Jamie Foxx, Dane DeHaan, Colm Feore, Felicity Jones, Campbell Scott, Embeth Davidtz, Paul Giamatti, Sally Field.
Edaran: Sony Pictures Malaysia

Leave a comment