Filem Interchange arahan Dain Said Gabungan Mitos dan Dunia Moden

Pada tahun 2011, pengarah Dain Iskandar Said mencipta kejayaan dengan filem Bunohan: Return to Murder yang menerima pengiktirafan antarabangsa dan disambut baik di Malaysia. Lima tahun kemudian, beliau kembali dengan filem Interchange, sebuah thriller supernatural yang menggabungkan elemen noir dan mitos turun-temurun Asia Tenggara.

Interchange berkisar tentang dua watak utama, seorang polis dan seorang jurufoto forensik, yang menyiasat siri pembunuhan ritual di sebuah kota di Asia Tenggara. Filem ini bertumpu pada mitos tradisional Borneo, mencipta pertembungan antara kepercayaan lama dan dunia moden.

Idea untuk Interchange tercetus selepas Dain menemui gambar yang diambil oleh penjelajah Norway, Carl Lumholtz, semasa ekspedisi beliau ke Borneo Tengah antara tahun 1913 dan 1917. Gambar itu menunjukkan sekumpulan wanita tempatan yang sedang melakukan upacara membuang sial selepas difoto oleh Lumholtz. Penemuan gambar tersebut pada tahun 2005 mencetuskan inspirasi untuk filem ini.

Interchange adalah hasil daripada beberapa program antarabangsa seperti EAVE Ties That Bind 2012, NAFF IT Project Market di Puchon Fantastic Film Festival 2013, dan bengkel Binger Lab Script Workshop. Ia dibiayai melalui ekuiti persendirian, serta mendapat sokongan dari Malaysian Digital Economy Corporation (MDeC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS). Filem ini merupakan usaha sama Malaysia-Indonesia melalui syarikat Apparat dan Cinesurya.

Filem ini mengisahkan Detektif Man yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam, bersama rakannya Adam, seorang jurufoto forensik yang dimainkan oleh Iedil Putra. Mereka terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan bersiri yang mengerikan sehingga memberi kesan mendalam kepada Adam. Sejak dari kejadian itu, Adam mula menjauhkan diri dari dunia nyata dan hanya mengambil foto dari beranda apartmennya. Dari lensa kameranya, dia mengintip seorang wanita misteri bernama Iva, lakonan Prisia Nasution, yang berasal dari Borneo dan baru sahaja berpindah ke apartmen bertentangan. Kehadiran Iva membuka jalan kepada Adam untuk menyelami dunia misteri wanita itu. Pada masa yang sama, Detektif Man berjaya mendapatkan petunjuk dalam kes pembunuhan tersebut. Kejadian-kejadian mistik dan ngeri mula berlaku, menyelimuti mereka dengan pelbagai kepercayaan lama yang sukar dijelaskan.

Interchange yang dibintangi oleh Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nisaa, Alvin Wong, dan Chew Kin Wah ini diarahkan oleh Dain Iskandar Said dengan Nandita Solomon sebagai penerbit. Filem ini turut melibatkan ramai tenaga produksi dari pelbagai bidang, termasuk Jordan Chiam sebagai pengarah fotografi dan Luka Kuncevic sebagai pereka muzik dan bunyi. Dengan usaha bersama dari Malaysia dan Indonesia, filem ini dijangka menjadi satu lagi pencapaian besar dalam dunia perfileman Asia Tenggara.

Filem Interchange dijadualkan untuk tayangan umum pada 1 Disember 2016, dengan pengedaran oleh GSC Movies.

Leave a comment