SITI NORDIANA LANCAR SINGLE “HATIKU MILIKMU”, VIDEO MUZIK MENAMPILKAN FIKRY IBRAHIM

Penyanyi Siti Nordiana yang juga merupakan juara program Gegar Vaganza musim ke 2 pada tahun 2015 muncul dengan single terbaru “Hatiku Milikmu”, menjelaskan lagu cinta ini fokus kepada sifat wanita yang setia dan tulus dalam perhubungan.

“Walaupun pernah dikecewakan, hatinya tetap setia dan cintanya tetap utuh. Sukar untuk hati itu beralih pada yang lain apabila sepenuh jiwa dan raga telah diserahkan pada seseorang yang amat dicintai,” petiknya.

Single ini hasil tulisan Siti Nordiana sendiri yang mesta dipanggil Nana bersama Shana sebagai penulis lirik. Lagu pop bada ini diterbitkan oleh SND Soul Entertainment milik Nana dengan kerjasama Seventeen Eleven Music Sdn Bhd sebagai pengedar.

Lagu “Hatiku Milikmu” biarpun berlirik melankoli tetapi punya muzik yang rancak. Menurut Nana, supaya mudah buat peminat berkaraoke di Smule, tak seperti kebiasaannya lagu begini sering hadir ‘mellow’ dengan vokal bernada tinggi.

image

Turut dilancarkan ialah video muzik rasmi lagu ini arahan Sergiu Chirau dan Dragos Cruceat dari produksi Storytellers di mana penggambaran dijalankan di Krabi, Thailand dan Kuala Lumpur selama seminggu. Ia menampilkan Fikry Ibrahim, pasangan Nana dalam telemovie “Cekelat Semanis Honey”  dan “Cekelat Tak Semanis Honey” bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat kesinambungan kisah mereka dari telemovie ke video muzik.

Single ini boleh didapati di pelantar muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music mulai 2 April 2018.