Maryan Rolle, bintang Fyre Festival yang sebenar

Di sebalik kegedikan Bella Hadid (BFF Neelofa dengar-dengarnya…) memancing penonton iklan Fyre Festival dengan hirupan milkshake-nya, akak katering ni yang sebenar-benarnya bintang Fyre.

Dua filem dokumentari tentang bahana Fyre Festival keluar dalam masa yang amat dekat. Kedua-duanya, FYRE FRAUD (di saluran Hulu) dan Fyre: The Greatest Party That Never Happened (di saluran Netflix) memberi gambaran cerita di sebalik tabir festival muzik yang dicanang oleh ‘influencer’ terkenal seperti Kendall Jenner sebagai mewah tak ingat hinggakan model seksi berbikini pun sanggup menyuap anggur ke mulut anda di atas kapal cruise yang berlayar di pulau yang pernah dimiliki raja dadah Pablo Escobar di Bahamas dengan bayaran dari $100,000 sehinggalah serendah $1200 (dengarnya ada yang beli tiket $500 je).

Festival ini berakhir dengan malapetaka hingga viral di internet apabila apa yang dijanjikan hanyalah indah khabar daripada rupa, dan yang paling terkesan sekali ialah para pekerja di kepulauan Bahamas yang diupah oleh pihak Fyre yang bertungkus-lumus menyiapkan kelengkapan dan tempat festival tetapi hingga ke hari ini masih tidak mendapat bayaran.

Maryan Rolle yang menyediakan khidmat katering festival (bidan terjun selepas chef gourmet asal telah menarik diri) ialah salah seorang mangsa Fyre di mana dia terpaksa mengeluarkan wang simpanannya sebanyak $50,000 untuk menyediakan keperluan makanan untuk para pengunjung Fyre yang digambarkan seperti adegan Hunger Games dan Lord of the Flies.

Maryan juga ialah salah seorang daripada individu yang ditemubual dalam doku Fyre: The Greatest Party That Never Happened dan cerita beliau menarik perhatian netizen untuk membuat kutipan dana atas talian bagi membantu mengurangkan beban beliau yang sehingga kini telah berjaya mengumpul sebanyak USD$158,000. Semoga terus cekal, akak katering!