Doraemon Promosi Tahun Melawat Malaysia: Animas Kesal

Merujuk kepada berita yang tular hari ini, mengenai Balai Seni Visual Negara akan membawa pameran Doraemon ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Animas menzahirkan kekecewaan atas perkara ini. Sebagai persatuan yang dibarisi dan didokong oleh penggiat animasi tempatan, kami menyeru kerajaan khususnya pihak BSVN agar kreatif menampilkan watak animasi tempatan dalam rangka promosi berkaitan. Ini memberi justifikasi karyawan animasi tempatan diraikan dan dihargai.

Laporan Berita Harian mengenai Doraemon mempromosi Tahun Melawat Malaysia


Malaysia tidak kurang hebat dengan watak animasi sedia ada, antaranya Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboi Boy, Usop Sontorian, Keluang Man dan lain lain yang pernah dan yang masih digemari penonton.

Animas tidak membantah secara total mana mana usaha mempromosi negara dan pelancongan melalui tarikan animasi luar seperti Doraemon ini, apatah lagi ia memang digemari ramai. Namun kami juga mengharapkan karya tempatan dapat dibariskan bersekali atas sifat silang budaya selain menjulang kreativiti tempatan kepada khalayak antarabangsa. Tahun Melawat Malaysia adalah juga medan menzahirkan budaya kita kepada pelancong dari pelbagai pelosok dunia.

Persatuan Animasi Malaysia (Animas)
23 April 2019