‘SUATUKALA 2 – Timun Mas & Ijo’ diinspirasikan dari kisah rakyat serumpun. Pelakon wanita sensasi, Fasha Sandha hebat menjiwai watak wanita sihir, Mak Andeh.
Sempena musim cuti persekolahan dan Aidiladha pada bulan Ogos ini, saluran premium, Astro First Eksklusif sekali lagi membawakan sebuah naskhah hebat, istimewa untuk kanak-kanak dan seisi keluarga. Filem televisyen (FTV) ‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ yang merupakan sekuel kepada ‘Suatukala 1 – Malim Kundang, Merah & Puteh dan Badang’, dijangka menemui peminat mulai 1 Ogos ini di Astro First Eksklusif (saluran 480) dan menerusi platform digital, ‘On Demand’.
Mengangkat agenda serumpun, ‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ merupakan kisah rakyat Nusantara yang diinspirasikan dari ceritera rakyat Jawa, Indonesia. Diterbitkan oleh rumah produksi tempatan, Red Communications Sdn Bhd, FTV ini diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Shamyl Othman yang sebelum ini dikenali menerusi sentuhannya dalam filem, ‘Kami Histeria’ dan ‘Rembat’, serta siri popular, ‘Oh My English’ dan supertele, ‘Kasut Bola Pink’.

‘Suatukala 2 – Timun Mas & Ijo’ mengisahkan tentang Timun Mas (lakonan pelakon cilik Indonesia, Thalia Ivanka) yang lahir dari sebiji timun gergasi dan dibesarkan oleh Mbak Sarini (lakonan pelakon wanita Indonesia, Prisia Nasution) yang melatihnya untuk bertempur dan lari dari serangan musuh, terutamanya jauh dari gengaman wanita sihir, Mak Andeh (lakonan Fasha Sandha). Timun Mas dikejar oleh Ijo, raksasa yang menggerunkan. Timun Mas perlu menggunakan keberanian, kemahirannya dan kuasa ajaib untuk bebas dari Ijo, tanpa mengetahui kuasa sebenar yang dimiliki dirinya.
