Sebagai sebuah filem dalam universe DCEU yang dianggap sebagai terlalu gelap jika dibandingkan dengan seterunya MCU, The Suicide Squad sebenarnya agak terang (tengok saja pada kemeriahan warna Polka-Dot Man) dan penuh dengan lawak-lawak bodoh yang kadang-kala menggelikan hati.
The Suicide Squad menampilkan barisan watak-watak baru berbanding filem pertama tetapi mengekalkan beberapa watak asal seperti Rick Flag dan Harley Quinn dengan mereka punya skil dan kelebihan yang entah apa-apa tetapi cara James Gunn menyampaikan premis DC Comics ini sangat tepat dengan nilai komiknya tetapi kekal brutal sehingga diberi ‘rated R‘, sesuatu yang jarang untuk sebuah adaptasi komik superhero (atau supervillain di sini) . Kecemerlangan James Gunn yang sebelum ini pernah menghasilkan dua filem team superhero yang ‘bodoh’, Guardians of the Galaxy semakin menyerlah dalam The Suicide Squad dan di sinilah dapat dilihat potensi sebenar Gunn sebagai pengarah kerana tiada satu saat yang membosankan pun dalam filem ini dan ini sebuah karya yang menghiburkan.
Lakonan Idris Elba sebagai Bloodsport ialah highlight dalam filem ini kerana dalam seriusnya watak lakonan Elba, ia masih perlu meneruskan misi dengan sekumpulan banduan yang gila-gila sehingga ke akhirnya dan ia menyeimbangkan antara drama dan komedi pada filem ini.
Margot Robbie semakin serasi dengan watak Harley Quinn dan anda kena tonton filem ini kerana adegan Harley Quinn yang semakin menggila yang tiada pada filem sebelumnya.
Rating: 8/10

Filem arahan James Gunn ini tidak boleh dianggap sebagai reboot kepada filem Suicide Squad arahan David Ayer kerana watak-wataknya masih dalam universe yang sama tetapi di garis masa yang berbeza. Masih mengekalkan premis tentang sekumpulan banduan dari Belle Reve yang dianggap berbahaya, mereka direkrut oleh agensi rahsia kerajaan Amerika Syarikat untuk melakukan misi maut dengan kod nama ‘Task Force X’ (yang sebenarnya ialah Suicide Squad juga) di bawah kendalian Amanda Waller. Kali ini ia menampilkan Rick Flag, Harley Quinn, Bloodsport (yang berat hati menerima tugasan ini untuk menyelamatkan nyawa anak perempuannya), Peacemaker, King Shark, Polka-Dot Man, dan Ratcatcher 2.
Pelakon: Margot Robbie, Idris Elba, John Cena, Joel Kinnaman, Jai Courtney, Peter Capaldi, Alice Braga, Pete Davidson, David Dastmalchian, Viola Davis
Pengarah: James Gunn
Pengedar: Warner Bros. Pictures
