KUALA LUMPUR, 25 November 2021 – Tempatan Fest ditubuhkan pada 2013 dengan objektif utama untuk mempertengahkan inisiatif usahawan tempatan dalam pelbagai bidang yang menonjolkan seni dan kreativiti baik dari bidang seni grafik, fesyen jalanan, muzik mahupun kulinari dengan penganjuran tahunan seperti Tempatan Fest, Tempatan Stage, Tempatan Kitchen dan seumpamanya.
Kekangan akibat pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 memberi impak yang sangat besar bagi semua usahawan ini. Pengoperasian semula pelbagai sektor ekonomi membuka ruang bagi Tempatan Fest yang diketuai oleh Seir Rashid untuk kembali aktif meneruskan usaha yang telah dimulakan sejak penubuhannya.
Untuk kali ini, Tempatan Fest akan menganjurkan dua acara – Pesta Kopi KL dan Blues Valley Jam.

PESTA KOPI KL
Pesta Kopi KL akan diadakan pada 4 & 5 Disember 2021 dengan kerjasama Pasar Seni. Selama dua hari, usahawan kopi tempatan seluruh negara berkumpul untuk mempersembahkan produk minuman kopi masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi.
la akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam di Kasturi Walk, Pasar Seni dan akan dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan.
Antara aktiviti menarik sepanjang acara dua hari tersebut adalah
1. Persembahan kumpulan buskers, artis indie dan beberapa artis ternama.
2. Demonstrasi penyediaan kopi dan demonstrasi alat-alat penyediaan kopi oleh para vendor.
3. Jualan barangan penyediaan, aksesori dan produk kopi.
Pesta Kopi KL ini tidak dapat dijayakan tanpa sokongan pihak-pihak seperti Pasar Seni, Kinabalu Peaks, Peminat Kopi, Sekolah Kopl, Zenia Coffee dan Rasta Brew sebagai Rakan Strategik, Avenue J Hotel sebagai Hotel Rasmi dan The Rakyat Post sebagai Media Rasmi.

Antara yang hadir di sidang media Blues Valley Jam & Pesta Kopi di Hotel Aveneu J ialah Seir (pengasas Tempatan Fest), Jai (Zenia Coffee), Radhi OAG, Blues Gang, Pitahati dan Andy Flop Poppy.


BLUES VALLEY JAM
Blues Valley Jam ialah satu acara konsert atas talian yang akan diadakan pada Disember 2021 di Alang Sedayu, Gombak dengan tema kecintaan kepada hutan, sungai, pokok dan alam semulajadi. Ia diadakan untuk meraikan ulangtahun 48 tahun band blues rock ini. Anda boleh dengar bunyi cengkerik dan bunyi hutan dan air mengalir semasa sesi jam ini yeah.
Buat masa ini, pihak penganjur belum bercadang untuk membukanya untuk acara fizikal kerana mematuhi SOP pandemik yang masih goyah.

Tiket-tiket berharga RM20 akan mula dijual tidak lama lagi dan anda boleh menonton persembahan Blues Gang dan kawan-kawan pemusik tempatan lain di komputer atau di telefon anda, sambil minum kopi dan cicah biskut kat rumah. Beberapa band dan penyanyi tempatan sudah bersetuju untuk buat persembahan di sesi tersebut, didedikasikan kepada pengaruh-pengaruh musik Blues Gang.
Boleh lawat website rasmi Blues Gang juga di www.bluesgangofficial.com dan ikut kami di Facebook dan juga Instagram. Facebook Blues Gang 48 Instagram @bluesgangofficial
