Semalam (atau hari ini di US), 19 Julai, genaplah sembilan tahun sejak tayangnya filem seram The Conjuring arahan James Wan yang terus menjadi ‘instant classic’ di kalangan peminat filem seram dan menerbitkan beberapa sekuel dan spin-off yang dikenali sebagai Conjuringverse. James Wan memuat naik video ini di Instagram beliau, mengenang kembali filem arahannya yang kini menjadi francais seram yang besar.
Di Malaysia, The Conjuring sebenarnya lambat ditayangkan iaitu pada 1 Ogos 2013, hampir dua minggu selepas ia debut di US tapi kita taklah kecoh sangat macam satu filem yang lambat tayang (dan belum tayang sampai ke sudah) baru-baru ini.
Filem berdasarkan pengalaman pasangan penyiasat paranormal dan demonologist Ed dan Lorraine Warren ini mendapat penerimaan yang baik di kalangan pengkritik dan penonton dengan ia mengutip sekitar USD$319.5 juta daripada belanja sekitar USD$20 juta. Sebelum dinamakan The Conjuring, tajuk asal filem ini ialah The Warren Files.
Dalam perancangan, dua filem lagi di bawah francais The Conjuring iaitu The Nun 2 dan The Crooked Man bakal diterbitkan kelak selepas pengumumannya di CinemaCon 2022.
