Pada 28 Oktober 2022 bertempat di restoran Smoked Kingdom by Don Daniyal Wangsa Maju, telah berlangsungnya majlis Inisiatif Dana Amal ‘Agungnya Cinta’ Yayasan UNITI berserta pelancaran Konsert Agungnya Cinta yang membariskan artis-artis seperti Raihan, UNIC, Mirwana dan Naim Daniel.

Yayasan UNITI ialah sebuah badan yang ditubuhkan pada tahun 1998 di mana ia memberi perhatian khusus untuk membasmi kemiskinan melalui pendekatan yang proaktif dan berbeza. Terkenal dengan pelbagai gerakerja amal, ia kini menjalin kerjasama dengan Afocus Media Ventures (AMV), produser media Islamik kontemporari, dalam menganjurkan satu inisiatif kutipan dana amal bagi menjana pelbagai aktiviti kebajikan kelolaan Yayasan UNITI, yang dinamakan Agungnya Cinta.
Antara aktiviti kebajikan yang dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif Agungnya Cinta ini termasuklah:
– Feet 4 Life : Pemberian kaki palsu percuma kepada lebih 700 OKU Asnaf di seluruh Malaysia, dengan kerjasama Uniti Waqi Sdn. Bhd. dan Kedidi Global Sdn. Bhd.
– 1 Keluarga 1 Graduan: Siri program pendidikan yang membantu memastikan sekurang-kurangnya seorang ahli daripada golongan keluarga B40 untuk layak melanjutkan pelajaran ke IPT
– Tuisyen Percuma: Program tuisyen percuma yang telah dijalankan sejak tahun 2010 untuk meringankan bebanan keluarga dengan membiayai sebahagian daripada kos pendidikan serta menjadi penggerak kepada pelajar untuk terus meningkatkan potensi diri dalam bidang akademik
– Waqaf Tunai ASEAN Mall: Pusat membeli-belah yang bukan saja membekalkan makanan halal dan keperluan penggunaan harian untuk masyarakat setempat, malah juga bertindak sebagai gerbang produk halal wilayah ASEAN dan pelbagai lagi aktiviti yang sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa.


Sumbangan untuk inisiatif Agungnya Cinta boleh dibuat menerusi laman sesawang
https://kac.amv.events/ sama ada mengikut pakej yang telah ditawarkan atau sebarang jumlah bebas mengikut kemampuan.
Konsert Agungnya Cinta (KAC2022)
Sebagai satu nilai tambah kepada inisiatif ini, sebuah konsert dengan pengisian yang dinamakan Konsert Agungnya Cinta : Menyusuri Sirah Baginda akan dianjurkan khas untuk meraikan para penyumbang.
Dalam konsert ini, riwayat hidup Rasulullah akan diceritakan semula dalam bentuk tazkirah oleh Ustaz Don Daniyal dan Imam Muda Megat Mohd Zaid, diselang-selikan dengan alunan nasyid tentang kehidupan dan perjuangan Baginda oleh kumpulan Raihan, UNIC, Mirwana serta Naim Daniel, di samping persembahan sketsa oleh Man Raja Lawak dan dendangan syair tradisi oleh Galuh Cendra Kirana.


Konsert Agungnya Cinta bakal berlangsung pada 30 Disember 2022 jam 8 malam bertempat di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur. Sebagai memenuhi permintaan para peminat hiburan Islamik, konsert ini juga akan disiarkan secara langsung atas talian.
TERKINI : Atas permintaan ramai, tiket yang lebih mampu milik telah dibuka. Kepada yang berminat, boleh melayari https://www.ticket2u.com.my/event/29465?r=kacblogger untuk membeli tiket dengan harga serendah RM88.
