Filem ini berlatarbelakangkan tahun 1993 hingga 1998 mendedahkan kisah Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sambil menonjolkan perjuangannya yang secara konsisten menentang amalan rasuah tetapi berakhir di penjara.


Filem yang diusahakan sejak Ogos 2011 ini telah siap dan sedia untuk ditayangkan. Diolah dari kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas dan konsisten menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai dari pihak-pihak tertentu. Juga bagaimana dia enggan menggunakan wang rakyat untuk menjamin syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit. Kerana itu dia difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul secara brutal di dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari. Dari seorang menteri kewangan terbaik yang berjaya, dia membebaskan Malaysia dari belenggu hutang, akhirnya merengkok di penjara.



Filem arahan Viva Westi (pengarah Indonesia yang pernah menghasilkan filem Rayya, Cahaya di Atas Cahaya dan biopik Jenderal Soedirman) ini membariskan dua pelakon utama Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar Ibrahim manakala pelakon terkenal Indonesia Acha Septriasa memainkan watak sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia turut membariskan para pelakon seperti Hasnul Rahmat, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem ini diedarkan oleh DMY Creation. Anwar, The Untold Story akan ditayangkan di semua pawagam utama di seluruh negara mulai 18 Mei 2023.
