Kemunculan Pertama ‘Ultraman Blazar’ di Malaysia

KUALA LUMPUR – Peminat siri superhero Jepun, Ultraman, kini dapat merasakan detik bersejarah apabila barisan pelakon dari francais Ultraman, termasuk Ultraman Trigger dan Ultraman Decker, mengadakan sesi Live Show & Cast Talk sempena Ultraman Decker Final Tour: Journey to Blazar. Acara ini berlangsung pada 25 Jun di Lalaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

Penganjuran ini adalah kerjasama antara Astro Malaysia, Tsuburaya Productions, dan Lalaport Kuala Lumpur, bertujuan menjadikan Ultraman sebagai tarikan utama bagi pengunjung, terutama kanak-kanak dan remaja. Acara ini turut menandakan pengenalan siri baharu, Ultraman Blazar, di Malaysia melalui sesi sidang media yang melibatkan pelakon seperti Hiroki Matsumoto (Kanata Asumi), Raiga Terasaka (Kengo Manaka), dan Yuka Murayama (Ichika Kirino). Turut hadir adalah wakil dari Astro, Farah Fauzana, dan Encik Kei Minamitani dari Tsuburaya Productions.

Antara tarikan utama acara ini adalah kehadiran patung Kaiju setinggi 10 meter di kawasan Gate Plaza dan inflatables Ultraman gergasi di atrium utama. Acara ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi meet & greet dan pertunjukan bertarung, bagi menghargai peminat Ultraman di Malaysia.

Bagi memastikan pengalaman yang tidak terlupakan untuk kanak-kanak, pelbagai aktiviti interaktif seperti mewarna wajah dan permainan telah disediakan. Terdapat juga taman permainan inflatable yang membolehkan kanak-kanak melompat, meluncur, dan bermain dengan gembira. Pengalaman ini pasti memberikan kegembiraan kepada mereka dan melegakan ibu bapa yang ingin menikmati acara dengan tenang.

Peminat juga berpeluang mendapatkan tiket tayangan, pas Meet & Greet, dan barangan eksklusif Ultraman Decker secara PERCUMA dengan Astro Rewards.

Acara ini menjadi platform bagi peminat untuk berinteraksi dengan pelakon dan menghayati dunia Ultraman dengan lebih dekat.

Leave a comment