SME CORP. MALAYSIA BIMBING 48 PMKS BERPOTENSI TINGGI UNTUK PENYENARAIAN DAN PENEROKAAN PASARAN EKSPORT

KUALA LUMPUR, 9 November 2023 – Sebanyak 48 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bertaraf 4–5 bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PMKS bagi Peningkatan (SCORE) telah dibimbing melalui Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Penyerahan sijil penghargaan kepada PMKS tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini.Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang bertujuan menggalakkan PMKS menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dan seterusnya meningkatkan modal dan profil mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa melalui sokongan bersepadu. Selain itu, program ini turut membantu PMKS untuk menerokai pasaran eksport menerusi sesi padanan perniagaan bersama Trade Linker yang berpengalaman dalam aktiviti eksport. Pemilihan peserta dibuat dari kalangan PMKS bertaraf 4–5 bintang di bawah SCORE sebagai kesinambungan kepada program tersebut.

Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang bertujuan menggalakkan PMKS menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dan seterusnya meningkatkan modal dan profil mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa melalui sokongan bersepadu. Selain itu, program ini turut membantu PMKS untuk menerokai pasaran eksport menerusi sesi padanan perniagaan bersama Trade Linker yang berpengalaman dalam aktiviti eksport. Pemilihan peserta dibuat dari kalangan PMKS bertaraf 4–5 bintang di bawah SCORE sebagai kesinambungan kepada program tersebut.

SCORE membolehkan SME Corp. Malaysia menilai PMKS secara kuantitatif mengikut kriteria khusus bagi memastikan bantuan diberikan dengan lebih bersasar dan menyeluruh. Penilaian SCORE dilaksanakan berdasarkan parameter berbeza mengikut sektor dan saiz PMKS. Setiap PMKS yang dinilai akan diberikan penarafan daripada 1–5 bintang. Penilaian SCORE ini juga merupakan keperluan asas bagi permohonan program-program di bawah SME Corp. Malaysia termasuk Program Pengukuhan Mikro MADANI yang sedang dilaksanakan. Sehingga Oktober 2023, sebanyak 73,576 PMKS telah dinilai melalui SCORE.

Dalam ucapannya, YB Datuk Ewon Benedick berkata, “Daripada 48 PMKS terlibat, sebanyak 21 PMKS telah mula merancang untuk penyenaraian di Bursa Malaysia, dengan 10 PMKS akan melaksanakannya dalam masa terdekat. Baki 11 PMKS lagi dijangka akan berbuat demikian dalam jangkamasa 5 sehingga 10 tahun akan datang. Sebanyak 12 PMKS juga akan meluaskan pasaran baharu di luar negara melalui perkhidmatan Trade Linker yang telah disediakan di bawah program ini”.

Menurut YB Datuk Ewon lagi, “Kerajaan berhasrat melihat lebih banyak PMKS membuat lonjakan serta mengorak langkah dan seterusnya beralih menjadi syarikat besar iaitu melepasi definisi PMKS”. Ini seterusnya bakal menyumbang kepada pencapaian sasaran penanda aras di bawah kerangka Ekonomi MADANI iaitu kedudukan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.

YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dalam ucapan aluannya pula menyatakan, “Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang yang telah berjaya dilaksanakan dari 5 hingga 6 September 2023 merupakan salah satu usaha SME Corp. Malaysia untuk memperkukuh PMKS supaya lebih berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global. Di bawah inisiatif ini, PMKS didedahkan dengan strategi penyenaraian, usaha wajar (due diligence) penyenaraian, pengenalan kepada Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering) serta kisah kejayaan”.

“SME Corp. Malaysia kekal komited dalam memastikan keupayaan PMKS dapat dipertingkatkan serta penglibatan PMKS yang berterusan dalam rantaian bekalan global dengan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi”, tambah Encik Rizal.

Hadir sama, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan) KUSKOP dan YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.

Leave a comment