Filem Pendekar Awang Temui Penonton 11 Januari 2024, Dua Pengarah Diperkenalkan

Studio Kembara membuka tahun 2024 dengan filem terbaru keluaran mereka, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dalam satu majlis tayangan dan sidang media di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada 2 Januari 2024. Filem ini merupakan sekuel atau ‘spin-off’ kepada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan atau prekuel kepada filem Mat Kilau 2 yang bakal dihasilkan pada masa hadapan kelak.  Ia mengenengahkan watak Awang lakonan Fattah Amin yang merupakan kawan kepada Mat Kilau dari filem pertamanya. Filem Mat Kilau sebelum ini menjadi fenomena apabila ia menjadi filem tempatan terlaris dalam sejarah dengan kutipan RM97 juta.

Dalam majlis ini juga diperkenalkan dua pengarah filemnya yang sebelum ini dirahsiakan iaitu Shaharudin Mat Dali (yang juga bertindak sebagai penulis skrip) dan Saiful Reza Shukor. Mereka menggalas tugas ini yang sebelumnya dikendalikan oleh Areel Abu Bakar, pengarah yang sebelum ini dikenali dengan naskhah Geran dan Walid.

Filem Pendekar Awang menceritakan peristiwa yang berlaku selepas kebangkitan pahlawan melayu di Kuala Tembeling, Jerantut dan Temerloh Pahang di mana watak utamanya, Awang bersama para pahlawan yang tidak didendang melalui satu misi untuk menyelamatkan Tok Gajah (lakonan Wan Hanafisu) dan Haji Sulong (lakonan Nam Ron) dalam perjalanan mereka dari Pahang ke Terengganu. Tok Gajah mahu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan dan pahlawan Melayu. Apabila British mendapat tahu rancangan ini, British mengarahkan Syers (lakonan Geoff Andre Feyaerts) menangkap Tok Gajah dan HajiĀ  Sulong sebelum terlambat. Dalam usaha Awang menyelamatkan Tok Gajah dan rombongan yang lain, Awang berdepan pelbagai rintangan dan pertempuran. Berjayakah Awang menyelamatkan Tok Gajah dan Haji Sulong serta menewaskan askar terkuat di dunia yang diketuai Kapten Syers kali ini?

Dalam pada itu, filem ini juga mengangkat peranan wanita dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan tanahair dengan watak-watak seperti Sayang (lakonan Nur Fazura), Siti (Heliza Helmi), Minah (Hazwani Helmi) dan Besah (Tissa Biani). Filem ini turut menampilkan pendatang baru seperti Nadhir Nasar sebagai Tahir dan Amir Ahnaf sebagai Andak di mana kedua-dua pelakon ini mula menjadi sebutan selepas populariti drama bersiri Projek: High Council yang melonjakkan nama mereka.

Untuk pengetahuan, penggambaran filem Pendekar Awang bermula pada bulan Januari tahun 2023 dan telah menelan kos sebanyak RM12 juta. Penerbit filem Pendekar Awang, Abdul Rahman Dali yang hadir di majlis sidang media menegaskan Studio Kembara kekal dalam misinya dalam penghasilan isi kandungan yang baik untuk membangunkan ummah selari dengan moto Studio Kembara iaitu
ā€œHiburan Bermanfaatā€. Beliau mengesyorkan seluruh rakyat Malaysia untuk datang menonton
beramai-ramai bersama keluarga filem ini yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 11 Januari 2024.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah
Tarikh tayangan: 11 Januari 2024
Pengarah: Sharuddin Mat Dali & Saiful Reza Shukor
Pelakon: Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Tissa Biani, Ali Karimi, Hasnul Rahmat, Amerul Affendi, Geoff Andre Feyaerts,
Ruzaidi Rahman, Syed Ali Murtadha
Terbitan: Studio Kembara

Leave a comment