Pada 15 Januari 2024, bertempat di Hotel DoubleTree by Hilton telah diadakan satu sidang media penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di mana Karnival ini bakal berlangsung selama tiga hari dari 19 hingga 21 Januari 2024 di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang. Karnival ini bakal menghimpunkan 25 syarikat pelancongan tempatan yang telah diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk musim Haji 1445H/2024 di mana syarikat-syarikat ini akan mempromosikan pelbagai pakej menunaikan haji untuk ditawarkan kepada bakal-bakal jemaah haji. Karnival ini mensasarkan kehadiran lebih 10,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

Karnival ini diadakan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia atau Bumitra Malaysia di mana penganjuran karnival tahun ini membawa kelainan kerana para pempamer akan turut mempromosikan tawaran menarik untuk pakej umrah dan juga pelancongan yang disediakan oleh syarikat masing-masing, demikian menurut Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu.
Pelbagai pakej haji swasta yang ditawarkan bagi memberi lebih pilihan serta nilai tambah kepada mereka mengikut kemampuan serta tawaran pelbagai pakej umrah dan pelancongan merentasi serata negara. Dengan 140 reruai sepanjang Karnival, ia akan dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk penganjuran tahun ini. Selain penyertaan kesemua 25 syarikat PJH sebagai pempamer, Karnival turut disokong syarikat-syarikat seperti Bank Islam, AMAL (Malaysia Airlines), Takaful Malaysia Berhad dan Saudi Tourism Authority yang turut menyertai karnival ini sebagai pempamer.

Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang turut hadir di majlis itu berkata karnival tahun ini diadakan sebagai kesinambungan atas kejayaan penganjuran pertama pada tahun lepas di samping ingin meningkatkan kesedaran masyarakat umum kepentingan untuk memilih syarikat pengendali Haji yang menerima lesen PJH.
Karnival PJH pada tahun 2023 yang merupakan penganjuran pertama karnival sebelum ini telah mencapai sasaran dan menerima kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung lalu ia diteruskan pada tahun ini atas permintaan dan maklumbalas ramai dengan membawakan pelbagai kelainan dan penambahbaikan.

Karnival ini juga diharap menjadi salah satu platform penyampai buat orang ramai bahawa hanya syarikat berlesen sah sahaja yang boleh menawarkan perkhidmatan pengelolaan haji.
Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 adalah terbuka secara percuma kepada pengunjung dan akan bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam pada 19 dan 20 Januari. Manakala, pada 21 Januari pula, karnival akan bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.


Buat pengunjung yang bercadang hadir bersama keluarga, pelbagai aktiviti lain turut disediakan seperti program simulasi haji untuk kanak-kanak, persembahan artis nasyid terkenal, program bual bicara, kuiz dan juga cabutan bertuah khusus untuk para pengunjung dengan tawaran hadiah yang lumayan termasuklah pakej menunaikan umrah.
