RESORTS WORLD AWANA, GENTING HIGHLANDS – Festival Supalapa, sebuah festival muzik dan hiburan yang menghimpunkan lebih daripada 40 bintang antarabangsa dan tempatan, bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana, Genting Highlands.
Festival ini merupakan penganjuran sulung oleh Maestro Production And Prodigy 1 Nation, sebuah syarikat yang telah melaksanakan pelbagai konsert yang berjaya dan ‘sold out’ di seluruh dunia di seluruh Eropah, Kanada dan Asia. Ini adalah festival muzik pertama mereka di Malaysia, yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hiburan bertaraf dunia. Festival ini juga menjadi platform untuk mempromosikan bakat-bakat muzik tempatan dan memberikan peluang kepada mereka untuk berkongsi pentas dengan bintang-bintang antarabangsa.

Pengunjung festival dapat menikmati pelbagai genre muzik, seperti EDM, Pop, dan K POP, yang dipersembahkan di tiga panggung berbeza, iaitu Live Stage, EDM Stage, dan Pool Stage. Antara nama-nama besar yang menghiburkan pengunjung adalah Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep, Yuna, Siaxse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski, Jovynn, Coex, Forceparkbois, dan DJ Ziqq Axel Groove.

Selain itu, festival ini juga menawarkan pengalaman hiburan yang unik dan menarik, seperti Wrestling Ring, Bali Swing, Carnival Games, dan Silent Cinema, yang boleh dinikmati oleh pengunjung melalui pembayaran secara sistem RFID yang pertama kali digunakan di Malaysia.
Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya, berkata bahawa festival ini adalah satu usaha untuk melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara dan menjadikan Supalapa sebagai jenama global untuk festival muzik.

“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara yang tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung telah menemukan semua jenis hiburan bukan sekadar muzik di dalam satu festival. Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tetapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja,” katanya.
Naib Presiden Kanan Jualan, Pemasaran & MICE Resorts World Genting, Spencer Lee, pula menyatakan bahawa Resorts World Awana adalah destinasi riadah bertaraf dunia yang menawarkan percutian bertemakan alam semula jadi dan udara gunung yang sejuk.
“Supalapa akan menjadi festival muzik yang tidak pernah dilangsungkan sebelum ini, pengalaman muzik yang menyeronokkan dan menarik di Resorts World Awana,” ujarnya.

Pengarah Festival, Addam Al Maleq, turut menyifatkan festival ini sebagai satu pengalaman luar biasa yang dipenuhi dengan keseronokan tanpa had.
“Alami pengalaman luar biasa yang dipenuhi dengan keseronokan tanpa had di Festival Supalapa. Rasai semuanya di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana,” katanya.
Dengan semua keseronokan yang akan dinikmati tanpa limitasi ini, jangan terlepas temujanji anda di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana. Sebarang pembelian tiket boleh layari supalapa.com.
