Zamaera dan Daaliah Muncul Dengan Single ‘Big Fish’ Yang Menginspirasi

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2024 – Selepas berjaya menganjurkan Queendom Fest, festival muzik wanita pertama di Malaysia, Zamaera, penyanyi rap-penulis lagu yang berbakat, telah melancarkan single terbarunya yang bertajuk ‘Big Fish’. Single ini adalah hasil kerjasama dengan Daaliah, penerbit muzik dan DJ yang berasal dari Kuala Lumpur.

‘Big Fish’ adalah sebuah lagu yang menceritakan tentang pengalaman Zamaera sebagai seorang artis ‘independent’ yang berusaha untuk keluar dari zon selesanya dan mencari peluang baru di luar negara. Zamaera berkata, dia merasa seperti ‘seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil’ di Malaysia, dan dia ingin menunjukkan jiwa dan bakatnya yang sebenar tanpa terikat dengan norma yang konservatif.

Daaliah pula berkongsi bahawa proses pembikinan single ini adalah penuh dengan cabaran dan pengajaran, tetapi juga menyeronokkan dan bermakna. Dia berkata, dia dan Zamaera mempunyai persamaan sebagai pengkarya ‘independent’ yang menguruskan segala aspek dari penghasilan lagu, rakaman video muzik, dan pemasaran muzik. Dia juga berkata, lagu ini diilhamkan oleh sub-genre muzik elektronik house dari UK yang dikenali sebagai ‘Garage’ atau ‘UKG’.

Zamaera juga mendedahkan bahawa dia tidak terikat dengan mana-mana label muzik, tetapi hanya bekerja dengan para profesional berdasarkan sesebuah projek. “Saya seorang yang sangat mudah menyesuaikan diri tetapi apabila ia berkaitan dengan team saya, saya perlu sangat yakin dengan siapa saya mengamanahkan kerja saya. Walaupun prosesnya mungkin lebih lama, ia benar-benar berbaloi,” katanya.

Zamaera turut berkongsi cerita pengalaman bekerja dengan pengarah kreatif video muziknya, Hafreez Amminuddin dari House of Karyawan. “Kami bertiga (termasuk Daaliah) berhempas pulas memerah idea sehingga tidak tidur malam, kerana segalanya kami lakukan sendiri dan mahukan yang terbaik untuk peminat. Hafreez, yang lebih dikenali sebagai @freezforshort di Instagram, mempunyai pendekatan hebat menggayakan dua artis itu bersama semua pereka fesyen Malaysia yang terdiri daripada Kittie Yiyi, Amanda Brown, Behati, Uzair, S7WNZ. Terima kasih juga kepada rakan-rakan kami di Kloe Hotel dan Shuang Xi kerana menjadi penaja tempat rasmi untuk penggambaran video muzik kami dan kerana mempercayakan visi kami untuk menjadi nyata,” katanya.

Apa yang lebih menarik ialah kerjasama jenama dengan Vuse Street Covers, platform antarabangsa yang menonjolkan artis tempatan seperti Zamaera dalam usaha memecah sempadan. “Pelancaran muzik video premiere party ‘Big Fish’ rasmi yang disampaikan oleh VSC akan berlangsung pada 24 Februari di lokasi rahsia dan menampilkan 6 artis tempatan. Acara ini adalah melalui jemputan sahaja namun peminat boleh berpeluang memenangi tiket melalui pengumuman khas di media sosial Zamaera dan Daaliah,” katanya.

Di tanya apa yang kita boleh jangkakan dari Zamaera dalam tahun 2024, jawabya dengan teruja: “Saya bakal bekerjasama dengan sebuah label bertaraf antarabangsa, menghasilkan sebuah album penuh, siri jelajah dunia dan juga Queendom Fest 2.0! Bersedia untuk muzik baharu dan era baharu Zamaera”. Bagi Daaliah, “Sudah tentu lebih banyak muzik baharu (akhirnya) dan rancangan baharu di bandar baharu yang belum pernah saya kunjungi sebelum ini”.

Lagu ‘Big Fish’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music, manakala video muzik boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Zamaera.

‘Big Fish’ kini tersedia untuk penstriman di semua platform penstriman digital seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain dan tersedia untuk dimuat turun di iTunes.

Leave a comment