Pencarian ‘Girl Group’: Alternate Records & Talents Mencari Kumpulan Penyanyi Wanita, Ujibakat Atas Talian

Petaling Jaya, 27 Februari 2024 – Alternate Records & Talents, sebuah label rakaman di bawah naungan Media Prima Berhad, kini sedang membuka peluang kepada bakat-bakat baru dalam industri hiburan tanah air. Melalui uji bakat atas talian, mereka mencari individu yang mempunyai potensi untuk membentuk kumpulan wanita yang memukau.

Selepas kejayaan mempersembahkan penyanyi wanita berbakat seperti Puteri Khareeza, Marsha Milan, dan Shiha Zikir, Alternate Records & Talents kini ingin mencari lebih ramai bakat wanita yang akan menyemarakkan lagi dunia seni tempatan. Kumpulan wanita yang dicari bukan sahaja harus memiliki bakat vokal yang berkualiti dan persembahan yang luar biasa, tetapi juga memancarkan karisma dan daya tarikan yang tersendiri.

Ahli yang terpilih akan diberi peluang untuk mencipta lagu, merakam video muzik, dan terlibat dalam promosi bertaraf antarabangsa. Penyertaan terbuka kepada wanita berusia 18 hingga 25 tahun yang mempunyai bakat dalam nyanyian dan tarian. Kebolehan bermain alat muzik juga merupakan nilai tambah.

Bagi anda yang bercita-cita untuk bersinar di pentas hiburan, jangan lepaskan peluang ini! Caranya mudah – muat naik video persembahan nyanyian dan tarian anda di Instagram atau TikTok, dengan durasi tidak melebihi 3 minit. Pastikan anda menandakan laman rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Instagram (@alternate.my_) atau TikTok (@alternate.rt_). Tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Mac 2024.

Jom tunjukkan bakat terpendam anda dan sertai uji bakat ini! Untuk maklumat lanjut tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).

Leave a comment