Trent Reznor Mengenang Kembali 30 Tahun Album Nine Inch Nails – Downward Spiral

Peminat genre muzik industrial rock di seluruh dunia hari ini menyambut ulang tahun ke-30 pelancaran album ikonik Nine Inch Nails, The Downward Spiral. Album yang dilancarkan pada 8 Mac 1994 ini kini dianggap sebagai mahkota pencapaian band ini dan terus bertahan sebagai salah satu detik penting dalam sejarah muzik industrial.

Dalam satu kenyataan yang jarang dikeluarkan, Trent Reznor, minda di sebalik Nine Inch Nails, berkongsi pengalaman beliau mendengar semula album tersebut selepas tiga dekad. “Menghabiskan masa terlalu lama dalam nostalgia boleh menjadi bahaya, namun tarikh ini telah menarik perhatian saya. Sudahkah benar-benar 30 tahun berlalu, wahai sahabat lama? Saya baru sahaja menghabiskan satu jam mendengar kapsul masa ini, yang mengungkapkan apa yang ingin diperkatakan oleh diri saya yang berusia 28 tahun, dan ia masih mengujakan serta memilukan saya,” kata Reznor.

Album ini, yang mana tarikh pelancarannya sama  dengan album Superunknown dari Soundgarden dan Magnified dari Failure, memperlihatkan Reznor dalam keadaan paling tidak terkawal melalui lagu “Mr. Self Destruct” dan paling rentan dalam lagu “Hurt”. Album ini merupakan sebuah karya agung yang memastikan syarikat rakaman lain ketika itu berusaha untuk mendapatkan artis-artis lain dengan genre industrial dengan segera.

The Downward Spiral adalah puncak genius komposisi Reznor dan id yang tidak terpuaskan. Album ini mengandungi elemen-elemen yang menjadi ciri khas Nine Inch Nails dan telah menetapkan standard bagi genre tersebut.

Reznor mengakhiri kenyataannya dengan pesan, “Berbuat baiklah kepada diri sendiri. Berharap dapat bertemu anda semua tidak lama lagi.” Barangkali siri konsert jelajah khas bersempena album ini. Peminat di seluruh dunia kini menantikan kemunculan semula band ini dengan penuh antisipasi.

Album The Downward Spiral dari Nine Inch Nails, yang telah mencapai usia 30 tahun pada hari ini, masih dikenang sebagai salah satu album terhebat dalam sejarah Nine Inch Nails dan muzik industrial.

Leave a comment