Ulasan filem Godzilla x Kong: The New Empire

Dalam filem epik ini, dua titan utama, Godzilla dan Kong kembali berentap bersama sebagai satu pasukan dalam pertempuran epik ketika umat manusia mencari  jawapan akan hubungan mereka dengan misteri Skull Island. Watak Jia dah jadi Sam Witwicky untuk francais ini bila dia menerima petanda untuk membawa dia serta ibu angkatnya,Ilene ke dasar bumi yakni Hollow Earth lalu bertemu dengan keturunannya yang masih lagi wujud.

Kong tetap menjadi watak yang paling disayangi dan mudah didekati, sementara watak-watak manusia adakalanya menguji kesabaran penonton ke tahap nak suruh Godzilla sembur nafas berapi ke arah mereka sebab adakalanya menjengkelkan. Scar King, watak titan beruk yang licik diperkenalkan, muncul sebagai musuh terkuat Kong. Namun sedikit kekecewaan terhadap Scar King yang boleh dianggap lemah dan bergantung pada bala tenteranya serta ‘kuda’nya, Shimo yang diperhambakan. Jika dibuat perbandingan dibuat dengan Ghidorah dalam filem Godzilla: King of The Monsters, Ghidorah lebih ganas dan mampu menantang Godzilla secara langsung tanpa bantuan.

Filem ini tak terasa seperti filem Kong dan Godzilla sebab Godzilla kuat tidur di Colosseum.

Adegan pertarungan monster yang mengagumkan menyelamatkan sebahagian daripada filem ini, tetapi kehadiran watak manusia yang mengambil masa skrin yang banyak hampir menarik kesinambungan sekuel ini ke dasar yang lebih dalam daripada Hollow Earth. Kena ingat, ini filem Kaiju. Dan yang menontonnya mahu melihat kaiju bergasak sesama sendiri dengan plot yang nipis. Itu saja tujuannya.

Markah: 7/10. Keunggulan pada interaksi antara Godzilla dan Kong, walaupun kekuatan Scar King dianggap agak terbatas.

Tontonan di layar ScreenX, GSC Aurum Theater, TRX Exchange Mall.

Pelakon:
Rebecca Hall sebagai Ilene Andrews
Brian Tyree Henry sebagai Bernie Hayes
Dan Stevens sebagai Trapper
Kaylee Hottle sebagai Jia
Alex Ferns sebagai Mikael
Fala Chen sebagai Ratu Iwi
Pengarah: Adam Wingard
Pengedar: Warner Bros. Pictures Malaysia

Filem ini akan ditayangkan di pawagam mulai 28 Mac 2024.

Leave a comment