Bintang K-pop B.I Bersedia untuk ‘HYPE UP’ dalam Konsert Solo Pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Mei – B.I, penyanyi dan penari rap K-pop, akan kembali ke Malaysia untuk menghibur peminatnya dalam konsert solo pertamanya di sini! Konsert B.I 2024 Tour “HYPE UP” in Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment akan berlangsung di Mega Star Arena, KL pada jam 6 petang, Ahad, 30 Jun 2024. Tiket mula dijual pada hari Isnin, 6 Mei jam 12 tengah hari melalui www.ticketingtix.com.

Dilahirkan sebagai Kim Han-bin, B.I terkenal sebagai bekas ketua kumpulan idol iKON sebelum muncul semula sebagai penyanyi solo pada tahun 2021 di bawah label 131. Album single pertamanya, “Midnight Blue (Love Streaming)”, turut disusuli dengan sumbangan kepada World Vision untuk membantu kanak-kanak dalam krisis.

B.I mempunyai dua album studio (“Waterfall” dan “To Die For”) serta empat EP (“Cosmos”, “Love or Loved Part.1”, “Love or Loved Part.2” dan “Tadaima”). Beliau juga telah mengadakan tour dari Asia ke Eropah dan menjadi sebahagian daripada barisan pemuzik utama untuk festival muzik Lollapalooza dan francais Rolling Loud.

B.I bekerjasama dengan pelbagai artis dalam lagunya, termasuk Destiny Rogers dan Tyla Yaweh pada “Got It Like That”, Bipolar Sunshine dan Afgan untuk “Lost at Sea (Illa Illa 2)”, Jessi untuk lagu “Die for Love”, serta Soulja Boy dan DeVita menerusi lagu “BTBT”. Lagu “BTBT” dinobatkan sebagai salah satu Lagu K-pop Terbaik 2022 oleh majalah Time.

Selain itu, B.I juga dikenali sebagai penulis lagu dan penerbit. Beliau ialah ahli Persatuan Hak Cipta Muzik Korea dengan lebih daripada 100 lagu didaftarkan di bawah namanya, termasuk kreditnya untuk Blackpink dan Psy, antara nama besar lain dalam industri K-pop.

Berikut adalah kategori tiket dan keistimewaan untuk peminat yang menonton konsert B.I 2024 Tour “HYPE UP” in Kuala Lumpur (harga tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4):

  • HYPE Zon – RM788:
    • Menonton B.I buat soundcheck.
    • 700 peminat bertuah dapat bergambar dengan B.I secara berkumpulan (seramai 20 orang untuk setiap sesi).
    • 700 peminat berpeluang Hi-Touch dengan B.I.
    • 60 peminat bertuah bakal mendapat poster B.I yang bertandatangan.
    • 50 peminat bertuah bakal mendapat album B.I yang bertandatangan.
  • UP Zon – RM688:
    • 150 peminat bertuah dapat bergambar dengan B.I secara berkumpulan (setiap sesi 20 orang).
    • 150 peminat berpeluang Hi-Touch dengan B.I.
    • 20 peminat bertuah bakal mendapat poster B.I yang bertandatangan.
    • 50 peminat bertuah bakal mendapat merchandise B.I yang bertandatangan.
  • BE Zon – RM538:
    • 20 peminat bertuah bakal mendapat poster B.I yang bertandatangan.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, sila ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (@lofi.entertainment) dan Facebook (Lo-Fi Entertainment KL).

Leave a comment