Lagu “Chentaku” yang dinyanyikan oleh Zizan Razak bersama SonaOne di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment berjaya mencatatkan lebih daripada 1 billion tontonan di TikTok selepas tujuh tahun pelancarannya. Lagu ini yang turut dibantu oleh Joe Flizzow, telah menjadi fenomena di media sosial dengan menarik perhatian ramai tanpa mengira usia atau latar belakang.
Melalui perkongsian di Instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukurnya kerana lagu ini masih relevan dan disukai ramai walaupun telah berlalu bertahun-tahun. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang telah mencipta kandungan menggunakan lagu “Chentaku”, menjadikannya mencapai 1 billion tontonan yang signifikan.

Rocketfuel Entertainment juga berkongsi klip video TikTok dari pelbagai influencer dan selebriti yang turut menggunakan lagu ini. Antara mereka termasuklah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali, serta Alan Walker.
Lagu ini dilancarkan pada tahun 2017 dan mengisahkan kisah seorang jejaka yang mengalami cinta pandang pertama, namun hanya dari jauh disebabkan oleh rasa malu.
Dicipta oleh SonaOne dengan lirik oleh Zizan Razak dan Joe Flizzow sebagai penerbit eksekutif, “Chentaku” masih boleh didapati di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music. Anda juga boleh menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels dengan lagu ini untuk menyertai fenomena yang sedang berlaku.
