Konsert Divas & Diamonds 2024 Dilengkapi Jamal Abdillah, Joe Flizzow Iringi Rossa dan Dayang Nurfaizah

Selasa, 9 Julai 2024: Mega Eve Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal menggegarkan Johor Bahru dengan kehadiran artis-artis paling berbakat dari Malaysia dan Indonesia. Konsert ini dijadualkan menjadi salah satu acara terbesar tahun ini yang memadukan kegemilangan bakat seni dari kedua-dua negara.

Acara tersebut akan menyaksikan persembahan hebat daripada Dato Sri Rossa, Dato Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, dan Joe Flizzow. Mereka akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu hit mereka yang melegenda. Dato Sri Rossa, Dato Jamal Abdillah, dan Dayang Nurfaizah akan ditemani oleh pengarah muzik berbakat, Genervie Kam, yang membantu memperkukuhkan pengalaman muzikal mereka, manakala Joe Flizzow akan membawa band dan pengarah muziknya sendiri untuk memastikan persembahan yang luar biasa.

Konsert ini tidak hanya menjanjikan hiburan muzikal yang memukau tetapi juga akan memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan kemungkinan kolaborasi unik antara artis-artis terkenal ini. “Divas & Diamonds 2024 adalah platform yang hebat bagi saya untuk kembali ke panggung di Johor Bahru dan berkongsi keseronokan bersama peminat-peminat setia,” kata Joe Flizzow dengan bersemangat semasa sidang media.

Selain itu, sebagai komitmen kepada tanggungjawab sosial, Mega Eve Sdn Bhd akan menyumbangkan sebahagian daripada hasil tiket untuk bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin. “Sumbangan ini akan diserahkan kepada wakil dari Kedutaan Palestin untuk membantu meringankan beban rakyat Gaza,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr Farhan Razali.

Dr Farhan juga menegaskan bahawa Mega Eve akan terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam menangani isu penderitaan rakyat Palestin, sambil terus merancang acara-acara hebat pada masa akan datang.

Konsert Divas & Diamonds 2024 dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 7 September 2024. Orang ramai boleh mendapatkan tiket Konsert Divas & Diamonds 2024 di Ticket2u, www.ticket2u.com.my dan lima peratus daripada hasil jualan tiket berkenaan akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Aman Ali di talian 0124030729 atau melalui e-mel di amanali88@megaeve.com. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang akan mengasyikkan ini!

Leave a comment