Sebuah album kompilasi berjudul “Bintang Jalanan – Kolaborasi Album Pemuzik Jalanan” baru sahaja dilancarkan, menampilkan lima pemuzik jalanan berbakat yang sudah dikenali dalam arena muzik tempatan. Antara mereka ialah Ammal (Naib Juara AF 2016), Amir (Mentor), Islah (All Together Now), Yone (salah seorang Busker terbaik dari Pulau Pinang), dan Nan Blues (salah seorang ‘otai’ Buskers Malaysia).
Album ini bermula dari idea penerbitnya, Amad, semasa beliau di rumah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mencetuskan idea untuk mengajak rakan-rakan buskers terlibat dalam projek ini. Album ini dibiayai melalui Program Pembiayaan Muzik Independen CENDANA, dan menampilkan sepuluh karya baru dari pelbagai genre seperti folk, blues, reggae, dan lain-lain.


Proses penghasilan album ini melibatkan sentuhan penyanyi dan pemuzik hebat, Oja, dalam susunan muzik dan rakaman profesional dari permulaan hingga adunan akhir.
“Meskipun album ini bertujuan komersial, saya memastikan vibe dan etika buskers tetap terjaga dalam aspek muzik, karakter, dan konsep keseluruhan, tetapi dengan sentuhan pop semasa agar lebih mudah diterima oleh ramai. Busker bukan sekadar muzik tetapi juga ‘attitude’,” kata Amad, penerbit album ini.



Pelancaran album ini telah berlangsung pada 14 Julai 2024 dalam Program Santai Seni@TAR, yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan turut mengundang kehadiran Dato Ito Blues Gang serta Dato Freddie Fernandez.
Senarai lagu:
1. Dengar Dan Lihat – Nan Blues (Lagu / Lirik: Nan Blues)
2. Superhero – Yone (Lagu / Lirik : Yone)
3. Keroncong Biru Untuk Rose – Islah (Lagu : Amad & Oja / Lirik: Amad)
4. Alam Sekitar – Ammal (Lagu / Lirik : Amal)
5. A Shadow Play – Amir (Lagu: Amad, Amal, Amir Lirik: Amad)
6. Blues Buskers Blues – Nan Blues (Lagu / Lirik : Nan Blues)
7. Jiwa Kacau – Yone (Lagu / Lirik : Yone)
8. Biar Saja Aku di Sini – Islah (Lagu : Islah, shamel Lirik: Amad, Islah)
9. Ingin – Ammal (Lagu / Lirik : Amal)
10. Lagu Baharu – Amir (Lagu & Lirik : Amad)
Bonus Track: Semalam di Kuala Lumpur – The Columphor (Lagu & Lirik : Amad)
Pautan album di platform digital: https://bfan.link/bintang-jalanan

Info Program Santai Seni@TAR:
Program ini merupakan inisiatif DBKL khas untuk seniman jalanan setiap minggu kedua dan keempat setiap bulan, dari jalan Esfahan hingga jalan Melayu. Pelbagai hiburan percuma disediakan termasuk persembahan muzik, lukisan, maskot, tarian, pertandingan permainan tradisional, dan lain-lain. Tempat ini juga menjadi tapak yang sesuai untuk pelancaran album dan produk-produk seni. Pihak penyelenggara mengalu-alukan semua untuk turut serta sebagai rakan strategik dalam program ini dan menyediakan tapak secara percuma. Cadangan boleh dihantar melalui emel ke santaiseni00@gmail.com atau melalui Facebook Santai Seni at TAR.
