Filem ini mengenai satu malam berkabus. Semua orang sedang memandu kenderaan masing-masing. Tiba-tiba, seorang lelaki memandu dengan cara berbahaya dan menyebabkan kemalangan di jambatan. Seekor anjing jenis XL Bully Scourge yang telah bermutasi terlepas dari lori askar, dan semua orang cuba bertahan hidup. Adakah mereka berjaya? Anda perlu menonton filem ini untuk mengetahuinya.

Apa yang saya suka:
Filem ini sangat tegang dari awal hingga akhir. Soundtracknya boleh tahan hebat. Mereka berjaya membuat anjing jenis XL Bully Scourge kelihatan menyeramkan, dan cara anjing-anjing ini membunuh orang mengingatkan saya pada filem ‘Cujo’. CGI pada anjing dalam waktu malam dan kabus tidak kelihatan terlalu animasi. Latar belakang tentang anjing-anjing ini agak menarik. Lakonan mendiang Lee Sun-kyun memang terbaik, dan lakonan Kim Su-an (watak anak perempuan) juga bagus. Lakonan watak-watak lain juga tidak kelihatan kaku. Saya fikir saya akan benci semua watak dari awal hingga akhir seperti dalam ‘World Of Married’, tetapi nasib baiklah watak-watak ini lebih baik pada pertengahan atau ‘third act’. Filem ini adalah jenis filem yang sesuai untuk hiburan. Tiada jumpscares yang murahan. Saya suka cara mereka menggunakan kabus untuk mencipta ketegangan, mengingatkan saya pada permainan Silent Hill.

Apa yang saya tidak suka:
Ada beberapa watak yang tidak membuatkan saya peduli, sehingga ada adegan kematian watak yang membuatkan saya rasa “oh no… anyways“. Beberapa bahagian lawak sangat hambar dan cringe. Filem ini kelihatan cuba keras untuk menjadi seperti ‘Train To Busan’. Ada satu watak yang mereka tidak jelaskan apa yang terjadi padanya. Sayangnya, filem ini diklasifikasikan sebagai ‘PG-13′ dan bukan ’18+/Rated R’, sebab banyak adegan kematian watak yang ditutup dengan kereta atau tiang. Satu watak memukul anjing dengan kayu golf, kemudian membuang kayu golf itu. Jika saya dalam situasi tersebut, saya akan pegang kayu golf itu sampai mati. Pada waktu siang, CGI kelihatan seperti animasi.

Potongan dari LPF: Tiada potongan.
Boleh ke bawa anak-anak kecil?: Ya dan tidak. Kenapa saya cakap tidak? Jika anak anda mudah terkena sawan, jangan bawa kerana ada photosensitivity. Satu watak menggunakan kamera dengan flash. Jika anak anda tiada masalah seperti sawan, ibu bapa boleh bawa anak-anak menonton filem ini.
Penilaian: 7 daripada 10.
Dalam Kenangan: Lee Sun-kyun (2 Mac 1975 – 27 Disember 2023)

