Dato’ Aishah Membawa Nafas Baru Kepada Lagu “Di Pinggir Kayangan”, Nyanyian Asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini

Fenomena merakam semula lagu-lagu lama yang pernah popular oleh artis-artis legenda adalah satu tradisi yang berulang dalam arena muzik global. Hal ini disebabkan lagu-lagu klasik ini masih memancarkan daya tarikan tersendiri yang tidak lekang dek zaman. Apalagi setelah diberi sentuhan baru, semakin ramai generasi masa kini dapat menghargai keindahan karya-karya yang abadi.

Namun begitu, tidak semua penyanyi mampu menjadikan hasil rakaman semula sebagai sesuatu yang mudah diingati. Ada rakaman semula yang tidak mendapat perhatian sama ada dari khalayak atau mungkin gagal menarik minat. Hanya segelintir penyanyi hebat yang mampu memberi nafas baru kepada karya-karya lama ini.

Salah seorang yang menjulang nama dalam usaha ini adalah Dato’ Aishah, seorang penyanyi senior Malaysia yang terkenal dengan vokal yang luar biasa. Beliau pernah melangkah ke persada antarabangsa pada zaman muda bersama kumpulan The Fan Club, dan kini kembali dengan penghasilan semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dinyanyikan oleh legenda negara, Datuk Sharifah Aini.

“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat mengagumi suara beliau dan mempunyai kesempatan untuk berkongsi pentas dengan beliau. ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah lagu cinta yang penuh dengan semangat positif dan keseronokan, serta mempunyai lenggok Melayu yang sangat merdu,” kata Dato’ Aishah menjelaskan pilihan lagu ini untuk dirakam semula.

Beliau juga berharap agar generasi muda saat ini dapat mengenali lagu-lagu lama yang bernilai. Lagu-lagu seperti ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah warisan yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. “Ia mempunyai makna yang sangat penting bagi saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya.

Rakaman semula ini membawa beberapa perubahan yang ketara berbanding dengan versi asalnya, termasuk dalam susunan muzik dan penyesuaian nada yang sedikit lebih tinggi. Perubahan ini agar lagu ini kedengaran lebih segar, tetapi tetap menghormati roh asal lagu ini. “Saya harap lagu ini akan disukai oleh pendengar dari pelbagai peringkat umur. Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” kata beliau mengenai harapannya terhadap projek terbaru ini.

Di majlis pelancaran lagu ini yang berlangsung di Restoran Rebungm syarikat rakaman Sony Music Malaysia juga turut memberi penghargaan kepada Dato’ Aishah atas pencapaian 17 kali platinum dari hasil penjualan album fizikal dan digital melalui lagu-lagu beliau yang dilancarkan di bawah label mereka.

Lagu “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah dijadualkan untuk dirilis pada 19 Julai 2024, dan boleh dimuat turun di iTunes serta platform muzik digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

Kredit:

  • Artis: Dato’ Aishah
  • Komposer: Raja Kobat Salehuddin Bin Raja Musa
  • Penulis Lirik: Raja Kobat Salehuddin Bin Raja Musa
  • Produser (Susunan Baharu): Mas Dewangga
  • Tarikh Pelancaran: 19 Julai 2024

Leave a comment