MASDO Beraksi Di Mongolia & Korea Selatan!

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2024 – Warner Music Malaysia dengan bangga mengumumkan bahawa kumpulan artis rakaman mereka, Masdo, baru sahaja menamatkan lawatan promosi ‘Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ di beberapa wilayah Indonesia seperti Bandung, Jakarta, Yogyakarta, dan Bali. Masdo kemudian terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia dari 3 hingga 5 Julai 2024 untuk menyertai Festival Playtime, dan terus ke Busan, Korea Selatan untuk beraksi di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival) dari 6 hingga 10 Julai 2024.

Masdo yang terdiri daripada Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass), dan Asmawi (gitaris) menyatakan rasa syukur dan kegembiraan mereka.

Menurut Ali Sariah (vokalis), “Kami sangat teruja dengan ‘Masdo Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ kali ini kerana selain daripada promosi di radio, kami juga dapat beraksi secara ‘intim’ bersama peminat-peminat di Indonesia, serta berpeluang melawat bandar-bandar besar seperti Bandung, Jakarta, Jogja, dan Bali”.

“Satu dari momen yang memberi kesan kepada kami adalah semasa beraksi di JRNY Coffee & Records Café di Jogja kerana walaupun ini kali pertama kami di sana, tenaga ‘vibe’ peminat yang hadir pada malam itu memberikan kesan positif yang sangat mendalam, dengan beberapa dari peminat hadir dari jarak tujuh jam perjalanan dari Bandar Jogja.”

“Kami yakin dengan pendekatan ini, tidak mustahil bagi Masdo untuk mendapatkan tempat yang lebih besar di pasaran Indonesia, dan terima kasih banyak kepada Warner Music Malaysia dan Indonesia, Enrich dan Klook atas bantuan dan fasilitasi dalam perjalanan kami di sana,” kata vokalis, Ali Sariah.

Segera selepas menamatkan siri lawatan promosi di Indonesia, Masdo bersedia untuk beraksi di Ulaanbaatar, Mongolia dan juga Busan, Korea Selatan.

Putu Ceri menambah, “Kami sangat berterima kasih kerana lagu ‘Perih Jerih’ diterima dengan baik walaupun ia berbeza dari single lain yang kami hasilkan, rata-rata pendengar menyukai kematangan dalam setiap karya Masdo.”

“Walaupun penat, ini tidak menghalang kami untuk bersedia di Mongolia dan Korea Selatan, kami lebih fokus untuk memberi impak dalam persembahan dan mencari perbezaan dengan merujuk kepada persembahan artis-artis terkenal di peringkat antarabangsa, melihat bagaimana mereka mengendalikan pentas besar.”

“Semasa di Festival Playtime (Mongolia), walaupun bahasa berbeza, penonton tetap menikmati dan mereka bersorak ‘ehhh, ahhh’ secara beramai-ramai, manakala peluang untuk beraksi di Round Festival (Korea Selatan) adalah satu penghormatan bagi kami kerana seiring dengan nama-nama besar di arena antarabangsa. Bagi Round Festival, kami mendapat jemputan eksklusif dari Korean Broadcasting System (KBS) dan Masdo mewakili Malaysia di kalangan 11 negara ASEAN yang juga dijemput,” kata Putu Ceri.

Penyertaan Masdo dalam kedua-dua festival itu menarik perhatian Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, yang berkata, “Masdo berjaya membawa nama Malaysia ke platform antarabangsa di Korea Selatan, dan gaya unik mereka memberi tumpuan kepada kekuatan tenaga kerja seni negara kita. Teruskan menjadikan negara bangga, tahniah!”

Setelah kembali ke tanah air, Masdo sudah merancang beberapa projek untuk tahun 2025, termasuk album penuh sempena ulang tahun ke-10 mereka, yang akan diikuti dengan siri lawatan ke seluruh Malaysia, Singapura, dan Indonesia.

“Kami berharap dengan penyertaan dalam festival-festival antarabangsa ini kami dapat membuka jalan untuk membuktikan bahawa muzik Malaysia juga setaraf dengan negara lain, dan terus memperoleh lebih banyak pengetahuan kerana misi kami adalah untuk mencari kelebihan dan cuba menutup kekurangan dalam setiap perjalanan muzikal Masdo,” akhiri Asmawi.

Leave a comment