Pelancaran Rasmi Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X Fazura oleh YB Menteri Pendidikan

Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA: Mengembara dalam Semangat Kepelbagaian Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2024 – Hari ini, Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina binti Sidek melancarkan secara rasmi koleksi Tudung FAZURA Purple Label dalam majlis yang diadakan di Hotel Westin Kuala Lumpur. Koleksi ini merupakan hasil kerjasama eksklusif antara Kelab PROSPEC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jenama terkenal FAZURA, sebagai satu inisiatif istimewa sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-67 negara.

Koleksi Merdeka 2024 menampilkan 12 rekaan unik yang memaparkan warna-warna bersemangat Jalur Gemilang serta unsur-unsur ikonik kehidupan Malaysia. Dicipta dengan penuh dedikasi, setiap tudung menggambarkan semangat kemerdekaan dan kepelbagaian budaya negara, selaras dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ untuk tahun ini.

Majlis pelancaran yang gemilang turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Noorhuda binti Haji Alias, Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Ahmad Firdaus bin Baharuddin, Penasihat Kelab PROSPEC KPM, serta lebih 300 tetamu jemputan. Setelah pelancaran, para hadirin menikmati makan tengah hari sambil disajikan persembahan istimewa oleh artis terkenal, Ella.

Dalam sesi soal jawab, YB Puan Fadhlina binti Sidek menyatakan bahawa koleksi ini adalah satu langkah yang sangat positif dalam memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. Beliau berharap kerjasama seperti ini akan memberi dorongan kepada lebih banyak inisiatif yang memupuk semangat kemerdekaan di kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, YB Menteri juga mengutarakan pandangannya tentang hala tuju kerjasama ini, menyifatkannya sebagai permulaan yang baik dalam memperluaskan kerjasama antara sektor awam dan swasta, yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sementara itu, Puan Nur Fazura binti Sharifuddin, dalam jawapan beliau, mengucapkan terima kasih kepada YB Puan Fadhlina Sidek atas sokongan dan kehadiran dalam majlis pelancaran hari ini. Beliau menegaskan bahawa kerjasama dengan Kelab PROSPEC KPM adalah pengalaman yang sangat positif, dengan hasil 12 rekaan tudung yang unik yang amat dipuji.

Dengan pelancaran koleksi ini, FAZURA berharap ia akan menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif kolaborasi yang unik dalam mendukung pembangunan pendidikan dan masyarakat Malaysia, seiring dengan semangat ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

Bagi peminat yang berminat mendapatkan koleksi khas ini, mereka boleh menghubungi wakil PROSPEC KPM untuk maklumat lanjut atau membuat pembelian secara dalam talian di laman web rasmi FAZURA, FAZURA Apps dan ShopeeMall FAZURA Official Store.

Leave a comment