Album Baru Eminem Nombor Satu di Carta Billboard, Tendang Album Taylor Swift

Album studio terbaru Eminem, “The Death of Slim Shady (Coup De Grâce)”, kini rasmi menjadi album nombor satu di carta album Billboard 200 minggu ini, mengenepikan kedudukan album Taylor Swift, “The Tortured Poets Department” yang merajai carta selama 12 minggu.

Album ini menerima ulasan bercampur dari pengkritik tetapi tidak menghalang peminatnya dari kekal mendengar. “The Death of Slim Shady” memulakan debutnya dengan 281,000 unit. Album ini yang dilancarkan pada 12 Julai 2024, menjadi album pertamanya dalam tempoh empat tahun. Album ini menyusuli keluaran beberapa single seperti “Houdini,” “Tobey,” dan “Somebody Save Me.” Dengan mencapai tempat nombor satu di carta Billboard 200, ini menandakan kesebelas kali berturut-turut Eminem meraih kejayaan tersebut, sejak The Marshall Mathers LP pada tahun 2000.

Pencapaian Eminem ini mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu daripada beberapa artis yang mampu mengenepikan Taylor Swift dari tempat pertama carta. Sebelum ini, beberapa pencabar serius termasuk Billie Eilish dengan album ketiganya Hit Me Hard and Soft pada bulan Mei, Charli XCX dengan Brat, Zach Bryan dengan The Great American Bar Scene, dan lain-lain telah cuba untuk merebut tempat itu, tetapi The Tortured Poets Department terus kukuh.

Taylor Swift sendiri tidak berpatah balik (atau sedikit mengelat…) — semasa keluarnya album Billie Eilish dan Charli, dia melancarkan versi yang sedikit diubahsuai dari TTPD yang menggalakkan album terus terjual, yang membantu untuk mengekalkan album tersebut di nombor satu untuk tempoh yang cukup lama. Walau bagaimanapun, Eminem sekali lagi membuktikan kejayaan komersil yang mampu mengatasi segala bentuk cabaran, bahkan dari Swift sendiri.

Debut puncak carta “The Death of Slim Shady” meneruskan kejayaan impresif Eminem selama hampir 30 tahun. Selain album hit terbesarnya Curtain Call 2 pada tahun 2022, kali terakhir salah satu album Eminem debut di luar nombor satu carta Billboard ialah “The Slim Shady LP” pada tahun 1999.

Pada tahun 2019, band progresif metal Tool pernah menumbangkan album Taylor Swift daripada kekal di tempat pertama menerusi album Fear Inoculum.

Leave a comment