Sebuah lagu baru berjudul “Anak Malaysia” telah menggabungkan YB Altimet bersama artis terkenal seperti Zizi Kirana, SAIXSE, dan Fahimi di mana lagu ini bertujuan untuk memacu semangat kontinjen Malaysia yang akan bertanding di Sukan Olimpik 2024 di Paris dan menyemarakkan semangat “Jiwa Merdeka” sempena Hari Kebangsaan. Dicipta melalui kolaborasi Iqie Hugh, Mage, Fahimi, SAIXSE, dan Mambang, serta melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggubah lirik, lagu ini menggabungkan teknologi dan seni dalam muzik moden.

Menurut YB Altimet, lagu ini bukan sahaja untuk memberi semangat kepada atlet tetapi juga untuk memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Mage menambah, mereka ingin lagu ini memberi inspirasi dan membangkitkan semangat kebangsaan.
“Kami berharap ‘Anak Malaysia’ akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet kita ketika mereka bertanding di Paris, dan inspirasi untuk kita semua yang menyokong dari tanah air,” kata Zizi Kirana.

Lagu ini, yang dikeluarkan melalui kerjasama SVLTAN Management, Faithful Music, dan Universal Music Malaysia, akan berada di platform penstriman digital mulai 26 Julai, dengan video muzik diarahkan oleh Fareez Nasir akan dilancarkan pada waktu yang sama di YouTube Faithful Music.

