Jewels of Malaysia (JOM): Pencarian Bakat Seni Rekaan Barang Kemas Antarabangsa Bermula Ogos

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2024 – Sebuah majlis sidang media untuk acara Jewels of Malaysia (JOM) telah diadakan di Hotel Royale Chulan hari ini. Majlis ini dihadiri oleh panel-panel penting, termasuk Pengerusi Kehormat Persatuan Penggiat Seni Reka Barang Kemas (PERSEKA), Datin Dr. Raskidah Ali, Penasihat PERSEKA, Datuk Mohamad Fazly bin Zainudin, serta Pengasas Trishya & Co, Cik Nayli Batrishya bt Norbik Bashah sebagai Penaja JOM. Penyanyi terkenal, Haqiem Rusli, turut diperkenalkan sebagai Duta JOM dan penyanyi lagu tema acara tersebut.

PERSEKA, yang ditubuhkan pada 8 Februari 2024, di bawah NGO Koperasi Norras Berhad, beralamat di G-12 Saville@Melawati, Kuala Lumpur, akan menganjurkan acara JOM, sebuah pencarian bakat dalam bidang rekaan barang kemas. Acara ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia serta negara jiran seperti Indonesia, Singapura, dan Brunei, dan terbuka kepada pelajar IPTA dan IPTS.

JOM akan berlangsung di lima lokasi utama mulai Ogos di Johor Bahru (Zon Selatan), September di Kuala Terengganu (Zon Timur), Oktober di Pulau Pinang (Zon Utara), November di Sabah dan Sarawak, dan berakhir di Kuala Lumpur pada Disember. Pada peringkat akhir, dua pemenang dari setiap kategori akan diadili di Kuala Lumpur. Hadiah utama termasuk jongkong emas dan kursus pendek dalam bidang senireka di University of Arts London.

Penganjur mengharapkan JOM menjadi acara tahunan yang memartabatkan seni reka barang kemas Melayu dan mempopularkan nama Malaysia di persada dunia. Acara ini juga disokong oleh Tourism Malaysia dan MOTAC Malaysia, dengan liputan media dari TV1 dan Bernama TV.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web https://trishya.co atau akaun media sosial Trishya & CO.

Leave a comment