KOTA KINABALU, 2 Ogos 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) di Sabah International Convention Center (SICC) sempena program Sabah Education Tech 2024 (SET 2024). Program yang berlangsung selama tiga hari dari 2 hingga 4 Ogos ini dijangka menarik kehadiran 2,500 pengunjung.
Kempen Saya Digital yang diperkenalkan pada tahun 2020 bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia bagi menghadapi ekonomi digital. Inisiatif ini juga membantu mengurangkan kos sara hidup, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk menjadikan Sabah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Program JSD memberi tumpuan kepada empat teras utama: Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya. Sasaran utama program ini termasuk golongan B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Setakat ini, JSD telah melatih 27,154 peserta dari seluruh negara dan menyasarkan 40,000 peserta di 31 lokasi pada masa akan datang. Program ini termasuk inisiatif seperti eUsahawan dan MyDigitalMaker yang telah memberi manfaat besar kepada pelajar IPT, TVET, usahawan, dan pelajar sekolah.
Aktiviti menarik sepanjang program ini termasuk sesi perkongsian teknik pemasaran digital, robotik dalam pendidikan, penggunaan teknologi AI, projek DIY, dan aplikasi permainan.
Majlis perasmian JSD @ Kota Kinabalu disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin dan YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh. Rakan strategik seperti KWSP, PERKESO, TM-Unifi Business dan PDRM turut menyertai acara ini dengan sesi perkongsian mereka.
Untuk maklumat lanjut dan penyertaan program Jelajah Saya Digital, layari https://mdec.my/sayadigital.
