Spider Lancarkan Single Terbaru, “Keluar Sarang”

Kuala Lumpur, 31 Julai 2024 – Kumpulan rock Malaysia, Spider, yang mula dikenali sejak album “Ngam Ho” (1999) disusuli dengan lagu-lagu hits seperti “Mungkinkah Terjadi”, “Laukku Cukup Masib”, “Relaku Pujuk” “Aladin”, dan banyak lagi kini melancarkan single terbaru berjudul “Keluar Sarang”. Lagu ini hasil ciptaan Tam dan lirik oleh Keon, merupakan sebahagian daripada usaha Spider untuk kekal relevan dalam industri muzik masa kini setelah album terakhir mereka “Ankabut” (2016).

“Keluar Sarang” menggabungkan elemen bunyian elektronik dan dirakam oleh Spider sendiri yang juga bertindak sebagai produser dan penyusun lagu. Nafie, gitaris lama kumpulan yang kini dalam pemulihan selepas serangan strok, turut menyumbang dalam rakaman lagu ini.

Lagu ini diinspirasikan oleh Konsert Solo “Keluar Sarang” dan akan dimuatkan dalam album kompilasi serta album penuh yang akan datang. Kedua-dua projek ini diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia. Single ini kini boleh dinikmati di platform digital dan YouTube.

Menurut Dato M.Nasir, penasihat album tersebut, “Keluar Sarang” adalah pengenalan sebelum album penuh yang akan dirilis selepas 8 tahun, dengan harapan dapat menarik perhatian peminat seperti lagu-lagu terdahulu Spider.


Kredit

Lagu: Keluar Sarang

Artis: Spider

Komposer: Spider

Lirik: Keon

Hakcipta: Luncai Emas Sdn Bhd 

Label Rakaman: Luncai Emas Sdn Bhd 

Edaran: Sony Music Entertainment Malaysia 

Dengan Kerjasama: Ifix Entertainment

Leave a comment