Festival Filem Thai di Malaysia 2024 (TFF 2024) akan berlangsung dari 13 hingga 18 Ogos 2024, dengan tema “Bakat Tempatan ke Kandungan Global”. Festival ini dianjurkan oleh Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur dan akan menjadi edisi ke-4 sejak diperkenalkan. TFF 2024 bertujuan untuk mempromosikan hubungan budaya antara Thailand dan Malaysia melalui seni perfileman, sekaligus menawarkan pengalaman unik kepada penonton di Malaysia untuk meneroka kekayaan budaya, kreativiti, dan bakat tempatan dari Thailand.

Majlis perasmian TFF 2024 akan diadakan pada 13 Ogos 2024 di Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur, dan akan disertai dengan tayangan khas filem “The Undertaker”, sebuah filem komedi-seram yang mendapat perhatian istimewa di kalangan penonton Malaysia. Selain itu, festival ini juga akan menampilkan lima filem Thai terpilih, termasuk “Not Friends” (komedi-drama remaja), “Daeng” (komedi-seram), “Haunted Tales” (seram), dan “Mantra Warrior: The Legend of The Eight Moons” (animasi). Tayangan-tayangan ini akan diadakan di beberapa pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor, termasuk GSC Mid Valley, GSC 1 Utama, GSC MyTown, dan GSC IOI City Mall. Sebanyak 20 tayangan percuma akan disediakan untuk orang ramai.





TFF 2024 bukan sahaja menawarkan hiburan, tetapi juga bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan budaya dan persefahaman antara Malaysia dan Thailand. Menurut Duta Besar Thailand ke Malaysia, H.E. Ms. Lada Phumas, festival ini adalah peluang untuk menghargai persamaan dan keunikan yang mengikat kedua-dua negara melalui bahasa universal filem.
Selain tayangan filem, festival ini turut mempersembahkan sesi bual bicara khas bertajuk “IGNITE THAILAND: A Premier Destination for High Profile Film Production”. Sesi ini akan mengumpulkan pemain industri filem dari Thailand dan Malaysia untuk berkongsi pandangan serta kepakaran mereka tentang strategi perfileman Thailand, dan pada masa yang sama, menjadi platform inovatif untuk menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta di kedua-dua negara. Ceramah ini akan berlangsung pada 13 Ogos 2024 di Comfort Cabin Hall, Aurum Theatre.
Bagi yang berminat, semua tayangan TFF 2024 adalah percuma, dan tiket boleh ditebus mulai 12 Ogos 2024 melalui aplikasi mudah alih GSC atau di kios tiket di lokasi-lokasi GSC yang terlibat. Tiket adalah terhad dan akan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat, dengan had maksimum dua tiket bagi setiap penebusan.
Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur telah menganjurkan Festival Filem Thai di Malaysia sejak tahun 2017 dengan tujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya dan memahami “Thainess” melalui filem, serta memperkukuh hubungan yang berkekalan antara rakyat kedua-dua negara. TFF 2024 juga selaras dengan visi “IGNITE THAILAND” oleh Kerajaan Thailand untuk mengubah negara itu menjadi hab industri global dalam bidang kandungan kreatif dan pelancongan, serta menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara industri filem Thailand dan Malaysia.
