Hausboom Music Festival 2024 secara rasmi dilancarkan dengan penuh meriah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi, atau lebih dikenali sebagai “John Lemon”. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa festival ini bukan hanya sekadar acara muzik, tetapi sebuah perayaan besar yang merangkumi seni, budaya, dan bisnes tempatan, seiring dengan tema “Colours of Life”.
Azri menjelaskan bahawa Hausboom telah memulakan langkah kecil dalam dunia muzik sejak 2017, namun 2024 menjadi tahun di mana mereka bersedia untuk mengangkat acara ini ke tahap yang lebih tinggi. Pelancaran festival ini menandakan komitmen Hausboom dalam menyatukan elemen bisnes dan muzik secara inovatif, serta memberikan impak yang lebih besar kepada industri hiburan tempatan.

Hausboom Music Festival 2024 akan menghimpunkan 32 artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia yang telah dipilih melalui undian di media sosial Hausboom. Antara nama besar yang bakal menghangatkan pentas festival ialah lagenda rock Wings, kumpulan R&B Ruffedge, dan ikon muzik Datuk Zainal Abidin. Tidak ketinggalan juga band popular seperti Bunkface, Masdo, Joe Flizzow, ACAB, dan Airliftz. Dari Indonesia, band terkenal Payung Teduh dan The Changcuters akan turut membuat persembahan.
Pelancaran yang berlangsung dengan meriah ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh penting seperti YB Tuan Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang memberikan sokongan penuh kepada inisiatif ini. Turut hadir ialah Ms. Foong Ai Peng, Ketua Media & Bajet dari Hotlink; Madam Chin Hor Wai, Pengurus Besar Pemasaran 7-Eleven; Ms. Priya Dharshini, Pengarah Astro Radio; Mr. Dhan Andreas, Ketua Jenama Astro Radio; Mr. Navin Rishal, Pengurus Jenama Hitz Radio; Mr. Ariff Mustaffa, Eksekutif Muzik Era Radio; Mr. Zaid Hurairah, Ketua Penjenamaan Kampong Kravers; Izuddin Zamri, Eksekutif Pemasaran Digital Sunway Putra Hotel; Hew Kenny, Ketua Pertumbuhan Kumpool; dan Ms. Sue Heng, Pengurus Pemasaran Ibumie.

Majlis pelancaran juga memberi tumpuan kepada inisiatif khas seperti Hausboom Lokal Fest, yang menjadi pentas bagi lebih 110 peniaga tempatan mempamerkan produk mereka. Sebahagian besar daripada peniaga ini terdiri daripada jenama “streetwear” terkenal seperti SVG, Hikari, The Capcity, dan Asly, yang telah lama berkolaborasi dengan Hausboom.
Selain muzik, Hausboom juga melancarkan 100,000 botol Hausboom Sparkling Juice dengan label edisi terhad yang direka khas untuk Hausboom Lokal Fest, hasil kolaborasi dengan lima jenama fesyen tempatan. Setiap botol edisi terhad ini dilengkapi kod QR yang membolehkan pembeli memenangi pelbagai hadiah menarik daripada jenama-jenama tersebut.
Azri menekankan bahawa festival ini adalah lambang kepelbagaian yang mencerminkan cara hidup kontemporari masyarakat Malaysia. “Tema ‘Colours of Life’ diambil sebagai simbolik kepada kepelbagaian budaya, muzik, dan bisnes tempatan yang akan mewarnai festival ini. Kami percaya pengunjung akan menikmati pengalaman yang luar biasa, bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga keseluruhan festival,” tambahnya.
Hotlink, sebagai rakan telekomunikasi utama festival, turut memperkenalkan pelbagai kemudahan eksklusif bagi pengunjung yang menggunakan rangkaian mereka, seperti akses ke fastlane dan Hotlink VIP Lounge. Pengguna Hotlink juga berpeluang untuk memenangi tiket percuma dengan mengikuti halaman media sosial mereka.

Hausboom Music Festival 2024 dilihat sebagai platform yang bukan hanya mempromosikan muzik tetapi juga memartabatkan jenama-jenama tempatan yang semakin berkembang pesat.
Maklumat lanjut mengenai tiket festival boleh diperoleh di laman web rasmi https://www.hausboommusic.com dengan harga kemasukan umum bermula dari RM189 untuk Hausboom Music Festival, dan RM15 untuk Hausboom Lokal Fest.
