Vit’s Anjur Festival Muzik Konsert Telan Kaset 90’an

Jenama mi segera popular tanah air bawakan konsert era 90’an bersempena Festival Mi Malaysia yang pertama

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2024 – Jenama mi segera terkenal tanah air, Vit’s, dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia, akan mengadakan Festival Muzik Vit’s bertajuk ‘Konsert Telan Kaset 90’an’ pada 12 dan 13 Oktober 2024. Festival ini akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya dari jam 10 pagi hingga 11:30 malam.

Festival ini menampilkan barisan artis tersohor dari era 90’an seperti Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson, dan Don’t Panic Buskers, serta ramai lagi.

Puan Baizura Tazri, penganjur bagi pihak Vit’s, menyatakan, “Ini adalah kali pertama Vit’s menganjurkan festival muzik dengan menggabungkan elemen muzik dan makanan. Kami ingin memberikan pengunjung pengalaman menikmati hidangan mi sambil menyaksikan persembahan muzik era 90’an.”

Menurut Puan Baizura, tujuan utama konsert ini adalah untuk mengubati kerinduan peminat muzik 90’an dengan lagu-lagu hit dari era tersebut. Selain itu, festival ini juga akan menampilkan pelbagai jenis makanan berasaskan mi seperti laksa, mi kari, mi bandung, pasta, dan lain-lain.

“Konsert ini juga bertujuan mengumpul dana untuk Persatuan Karyawan Malaysia melalui hasil jualan tiket. Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membantu artis-artis senior dan karyawan yang sedang sakit atau uzur,” tambah Puan Baizura.

Festival Muzik Vit’s akan melibatkan seramai 17 penyanyi 90’an sepanjang dua hari acara, dengan pelbagai genre muzik seperti rock, balada, R&B, hip hop, dan irama Malaysia. Pengunjung juga berpeluang untuk melawat lebih 80 booth peniaga yang menjual makanan berasaskan mi dan menikmati permainan berkonsepkan karnival yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Pengunjung yang hadir berpakaian konsep 90’an berpeluang menerima hadiah menarik daripada pihak penganjur. Kami juga menerima permintaan untuk mengadakan pertandingan karaoke dan mengalu-alukan pengunjung untuk menyertai dengan pelbagai hadiah menarik menanti,” kata Puan Baizura.

Selain Vit’s dan Persatuan Karyawan Malaysia, festival ini turut disokong oleh MBPJ, Storm Truperz Campers, Ticket2u, Suria FM, Media Panas, Hotel Seri Pacific, Nester, dan Irama Maju Productions.

Puan Baizura menambah, “Kami berharap festival ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang untuk menghidupkan kembali kenangan muzik 90’an. Dato’ Freddie Fernandez, presiden Persatuan Karyawan Malaysia, berharap penonton dapat berhibur sambil beramal melalui festival ini.”

Tiket untuk Konsert Telan Kaset 90’an dan karnival boleh didapati secara dalam talian mulai 16 Ogos 2024 pada jam 4 petang di laman web Ticket2u.com.my dengan harga RM45 seorang. Tiada pembayaran dikenakan untuk Festival Mi Malaysia.

Leave a comment