Efek Rumah Kaca Kembali ke Malaysia: DI UDARA KUALA LUMPUR LIVE AT ZEPP KL

Band indie ikonik dari Jakarta, Efek Rumah Kaca (ERK), akan kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert solo yang dinanti-nantikan, bertajuk “DI UDARA KUALA LUMPUR LIVE AT ZEPP KL,” pada 25 Oktober 2024. Konsert ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, dan dijangka menarik perhatian ramai peminat muzik indie di tanah air.

ERK, yang terkenal dengan lirik-lirik puitis dan muzik yang mengasyikkan, telah lama meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat sejak awal pembabitan mereka dalam industri muzik. Meski jarang membuat persembahan panggung beberapa tahun kebelakangan ini, mereka masih tetap relevan dan mendapat tempat di hati peminat muzik.

Menurut penganjur, Shezco Sdn Bhd, konsert kali ini dinamakan “DI UDARA” sebagai penghormatan kepada salah satu lagu paling terkenal ERK yang dilancarkan dalam album sulung mereka pada 2007. Kembalinya ERK ke Malaysia adalah sebagai respon kepada permintaan peminat yang ingin menikmati muzik mereka secara langsung selepas persembahan mereka yang terdahulu pada 2022.

“Kami sangat teruja untuk membawa ERK kembali ke Kuala Lumpur dan percaya bahawa konsert ini akan menjadi malam yang istimewa buat peminat mereka di sini. Nama ‘DI UDARA’ dipilih sebagai simbolik kepada hubungan yang kukuh antara ERK dan peminat mereka, di mana muzik dan kasih sayang akan memenuhi ruang Zepp KL pada malam tersebut,” kata Kamarul Hafizad @ IJAD dari Shezco Sdn Bhd.

Cholil Mahmud, vokalis utama ERK, turut meluahkan kegembiraannya untuk kembali bertemu peminat Malaysia. “Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia dan kali ini lewat ‘DI UDARA KUALA LUMPUR LIVE AT ZEPP KL’, ERK akan lebih intim berpesta dengan peminat kami. Sampai ketemu semua pada 25 Oktober ini. Semoga kita menikmati sinestesia bersama nanti,” ujar Cholil.

Tiket untuk konsert ini dijual dalam beberapa kategori dengan harga berikut:

  • RM188: Kategori 1 / Free Standing
  • RM218: Normal Standing
  • RM268: Kategori 2 / Premium Seating
  • RM448: Royal Box
  • RM3,500: Pakej Meet & Greet untuk 8 orang

Menariknya, sempena bulan kemerdekaan Malaysia, pihak penganjur menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus kepada 50 pembeli pertama yang membeli dua tiket berdiri, bermula dari 22 Ogos hingga 31 Ogos 2024.

Untuk mendapatkan tiket, peminat boleh melayari ILASSOTICKETS.COM atau menghubungi talian 03 4816 8029 untuk maklumat lanjut. Pastikan anda tidak terlepas peluang ini untuk menyaksikan salah satu band indie paling berpengaruh dari Indonesia ini secara langsung di Kuala Lumpur!

Leave a comment