Astro Shaw dan Wonda Coffee Lancarkan ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ dan Perkenalkan Reka Bentuk Baharu Sut Keluang Man
Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024 – Dalam satu usaha kolaborasi yang menggabungkan dua jenama ikonik tempatan, Astro Shaw dan Wonda Coffee dengan bangganya melancarkan ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’. Minuman istimewa ini bukan sahaja menampilkan watak adiwira tempatan yang legenda, Keluang Man, pada tin minuman tetapi juga memperkenalkan rasa kopi susu dengan Tongkat Ali, yang diilhamkan daripada tradisi kopi Kluang yang terkenal.
Pelancaran ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ juga menjadi platform bagi Astro Shaw untuk memperkenalkan rekaan baharu sut ikonik Keluang Man, yang akan digunakan dalam versi filem “live action” yang dijadualkan tayangan pada tahun 2025. Rekaan sut baharu ini menunjukkan perubahan besar dari segi warna dan reka bentuk topeng, menandakan transformasi yang paling signifikan dalam sejarah watak tersebut.


Kerjasama strategik ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi pengalaman unik kepada para peminat, tetapi juga menyemarakkan lagi keterujaan menjelang tayangan filem ini. Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan, menyatakan bahawa kolaborasi ini meraikan gabungan rasa autentik kopi Wonda dengan semangat juang Keluang Man, yang diharapkan dapat membangkitkan rasa perpaduan dan kebanggaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penerbit Eksekutif Keluang Man dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, turut menyatakan bahawa sut baharu ini melambangkan babak baru bagi watak Keluang Man, yang akan diperkenalkan kepada umum buat pertama kali pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2024. Selain itu, video komersial eksklusif berdurasi 30 saat yang diarahkan oleh Ezrie Gazali turut dilancarkan dan boleh ditonton di platform media sosial Gempak serta di televisyen.

Filem Keluang Man, yang kini dalam fasa post produksi setelah selesai penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Kluang, Johor, dijangka menjadi salah satu filem aksi superhero tempatan yang paling dinantikan pada tahun hadapan. Sementara menunggu tayangannya, peminat boleh menghidupkan semula nostalgia dengan menonton siri animasi Keluang Man dari musim pertama hingga musim ketiga di www.keluangman.com.

Astro Shaw juga telah memperkenalkan kategori baru iaitu ‘Wonda Coffee Keluang Man Of The Month’ dalam program mingguan Gempak Most Wanted, sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf individu yang memberi impak positif dalam komuniti.
Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini dan berkongsi keterujaan mereka di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #KeluangMan.
