Oasis, kumpulan rock legenda dari Manchester, United Kingdom yang dikenali menerusi dua beradik Gallagher, Noel dan Liam, telah mengumumkan gabungan semula mereka yang telah lama dinantikan. Pengumuman itu dilakukan melalui akaun media sosial rasmi mereka, dengan mesej yang penuh simbolik dan enigma: “The guns have fallen silent. The stars have aligned. The great wait is over. Come see. It will not be televised.”

Kumpulan yang pernah menghasilkan lagu-lagu hits seperti Wonderwall dan Don’t Look Back in Anger ini bakal mengadakan jelajah di UK dan Ireland pada musim panas 2025. Ini merupakan satu peristiwa besar dalam dunia muzik, memandangkan ia adalah penampilan eksklusif mereka selepas kali terakhir pada 28 Ogos 2009, apabila band tersebut berpecah beberapa minit sebelum mereka sepatutnya naik ke pentas di festival Rock en Seine di Paris.

Tiket untuk jelajah tersebut akan mula dijual pada hari Sabtu ini, 31 Ogos 2024. Di Ireland, jualan tiket akan bermula pada jam 8 pagi IST, manakala di UK, ia akan dibuka pada jam 9 pagi BST. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh melayari laman web rasmi Oasis di https://OasisMusic.lnk.to/oasisinet.
Sebelum pengumuman ini lagi, telah terdengar khabar konsert Oasis di Wembley nanti bakal menapau rekod kehadiran konsert yang disandang oleh Taylor Swift.
