Filem seram komedi “Miftah Alam”, yang diadaptasi daripada kisah benar, akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 September 2024. Filem ini merupakan karya sulung terbitan DMJ Megah Sdn Bhd, diarahkan oleh Mohamad Aidil Azhar, seorang pengarah muda berbakat.
Dengan durasi 1 jam 21 minit, “Miftah Alam” mengisahkan dua alam berbeza—alam manusia dan alam bunian—yang sarat dengan mesej kesedaran dan pengajaran. Penggambaran filem ini dilakukan di beberapa lokasi utama di Jengka, termasuk Jengka 14, Bandar Pusat Jengka, dan Lubuk Yu, serta beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur dan Ulu Yam.
“Miftah Alam” menampilkan pelakon baru dan berpengalaman seperti Zera Hafiz, Taiyuddin Bakar, Zam Azmi, Eyka A. Rahim, Jue Aziz, Mubarak Majid, Rusminah Sidek serta cameo oleh Adam Corrie dan Julia Ziegler. Filem ini turut menyuntik elemen komedi di samping unsur seram, menjadikannya unik dan menarik untuk ditonton.

Majlis pelancaran filem ini telah diadakan di Hotel Seri Malaysia dengan kehadiran para pelakon utama dan penerbit filem, Ridzuan Shah Isa dan Adnan Yajid. Dalam majlis tersebut, penerbit berharap agar filem ini mendapat sambutan baik daripada penonton, memandangkan ia merupakan karya pertama mereka yang dihasilkan tanpa sebarang dana luar.
Filem ini mengisahkan empat sahabat iaitu Adam yang dilakonkan Zam Azmi, Zera (Zera), Hawa (Eyka) dan Iman (Taiyuddin) berkawan dari zaman persekolahan hingga dewasa.
Dari zaman persekolahan lagi Hawa ada memendam perasaan terhadap Adam, namun Hawa hanya menyimpan rasa cinta dan semua perasaannya terhadap Adam dan tidak mahu meluahkan sedikitpun.
Setelah mereka semua berkerja, Zera pula cuba untuk mendekati Adam dan berusaha untuk memenangi hati Adam tanpa meluahkan kata cinta tetapi Zera menunjukkan sikapnya dan perbuatannya yang dia benar-benar mencintai Adam.
Zera yang berpewatakan baik dan ceria itu mampu untuk menutup bahawa dirinya adalah seseorang yang mengamalkan ilmu hitam dan mempelajari semua daripada seseorang kenalannya dengan panggilan ‘Bonda’.
Dengan amalan dan kelebihan ilmu kebatinannya, Zera mampu untuk mengubah segala keinginannya agar berpihak kepadanya.
Filem “Miftah Alam” akan ditayangkan di lebih 30 pawagam di seluruh negara di bawah Skim Wajib Tayang. Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan pastinya akan membawa pengalaman menonton yang penuh dengan kejutan dan pengajaran. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran anda!
