Band indie-prog yang berasal dari Denmark, Mew telah membuat pengumuman mengejutkan yang pastinya mengecewakan ramai peminat mereka. Jonas Bjerre, vokalis utama Mew, mengesahkan bahawa tahun hadapan akan menjadi tahun terakhir beliau bersama band yang diasaskannya hampir 30 tahun lalu.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada peminat, atau lebih dikenali sebagai “Frengers”, Jonas berkongsi rasa syukurnya terhadap sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan karier mereka. Beliau menyatakan, “Tahun hadapan akan menjadi tahun terakhir saya bersama Mew. Saya sedar sudah tiba masanya untuk saya memulakan perjalanan baru dan memberi tumpuan kepada projek kreatif lain.”


Walaupun berita ini agak mengejutkan, Jonas turut menyatakan kegembiraannya dapat mengadakan beberapa siri konsert perpisahan bersama rakan band, Johan Wohlert dan Silas Graae, serta ahli tambahan, Mads Wegner. “Saya sangat gembira kerana kami dapat mengadakan konsert perpisahan ini, dan berpeluang untuk beraksi sekali lagi dalam perjalanan terakhir bersama rakan-rakan saya,” tambah Jonas.

Pengumuman tersebut juga menyentuh tentang bagaimana Mew bermula pada tahun 1995, ketika mereka bermain muzik di bilik Jonas sewaktu remaja. Kini, selepas 30 tahun, mereka telah menjelajah dunia, mengadakan ratusan konsert, dan mencipta kenangan indah bersama peminat setia mereka.
Sempena ulang tahun ke-30 ini, Mew akan mengadakan beberapa konsert khas sebagai tanda penghargaan buat peminat mereka. Konsert perpisahan tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 Mei 2025 di ACC, Aarhus dan 31 Mei 2025 di Royal Arena, Copenhagen. Tiket akan mula dijual pada hari Jumaat.
