Selepas sekian lama menyepi daripada dunia pengarahan, Afdlin Shauki kembali dengan filem Baik Punya Ah Long, sebuah komedi muzikal yang cuba mencetuskan gelak tawa dan kenangan lawak spontan yang pernah popular suatu ketika dahulu. Namun, percubaan ini tampak kurang berjaya, terutamanya apabila gabungan duo Jozan (Zizan Razak dan Johan) tidak lagi relevan sebagai tarikan utama seperti 10 atau 12 tahun lepas.
Mengambil inspirasi daripada gaya pengarahannya yang dulu, Afdlin masih mengekalkan elemen-elemen yang dikenali ramai, namun pengaruh tersebut tidak cukup kuat untuk memacu filem ini ke tahap yang lebih baik. Dalam tempoh sejam pertama tayangan, suasana di pawagam agak suram dan hampir tiada penonton yang ketawa, menjadikan bahagian ini terasa bosan dan hambar. Situasi ini mula berubah sedikit menjelang akhir filem, di mana terdapat beberapa adegan yang berjaya mencuit hati.

Dari segi muzik, walaupun genre muzikal ini menawarkan beberapa lagu yang boleh didengar, ia tidak cukup untuk menampung kelemahan dari segi komedi. Durasi filem yang agak panjang, iaitu 122 minit, juga menjadikan plot terasa meleret di beberapa bahagian.
Baik Punya Ah Long mengisahkan dua beradik yang berusaha membina perniagaan pinjaman wang tetapi menghadapi cabaran besar daripada pesaing mereka, golongan ‘Ah Long’ lain yang lebih berkuasa. Dalam masa yang sama, mereka juga perlu menyelamatkan seorang tukang jahit daripada musuh yang kejam, semua ini demi menghormati mandat bapa angkat mereka.
Dari sudut barisan pelakon, selain Jozan, filem ini turut menampilkan wajah-wajah popular seperti Chew Kin Wah, Liyana Jasmay, Afdlin Shauki sendiri, Adlin Aman Ramlie, dan Mia Sara. Walaupun terdapat nama-nama besar, ia masih belum cukup untuk mengangkat filem ini sebagai satu naskhah yang memukau. Kehadiran Achey sebagai pelakon sokongan juga tidak begitu menonjol.
Kesimpulannya, Baik Punya Ah Long mungkin menarik bagi peminat tegar Jozan atau mereka yang merindui sentuhan Afdlin Shauki. Namun, bagi penonton umum, filem ini mungkin bukanlah sebuah pilihan yang menghiburkan sepenuhnya. Dengan komedi yang kurang menjadi dan jalan cerita yang agak perlahan, filem ini hanya berjaya mencuri sedikit tawa di penghujungnya.

Maklumat Tayangan:
- Tayangan: 12 September 2024
- Bahasa: Melayu
- Genre: Komedi Muzikal
- Klasifikasi: 13
- Durasi: 122 minit
- Pengarah: Afdlin Shauki
- Pelakon: Zizan Razak, Johan, Chew Kin Wah, Liyana Jasmay, Afdlin Shauki, Adlin Aman Ramlie, Mia Sara, Achey
