KUALA LUMPUR, 15 September 2024 – Sungei Wang Plaza sekali lagi menyinari kawasan Bukit Bintang dengan penganjuran tahunan Lantern Parade yang dinanti-nantikan sempena sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh. Acara gilang-gemilang itu bukan sahaja meraikan keindahan tradisi perayaan tersebut, malah turut menyemarakkan semangat menjelang Hari Malaysia.
Majlis pelancaran rasmi yang bermula pada jam 7.30 malam telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Samuel Lee, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Sungei Wang Plaza, Encik Joseph Teo, penganjuran tahun ini menandakan edisi kelapan serta ulang tahun ke-10 perarakan tanglung tersebut, yang juga merupakan perarakan terbesar di kawasan Bukit Bintang. “Bertemakan Moonlit Blossom, A Lunar Reunion, kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk kembali ke Sungei Wang Plaza yang begitu dekat di hati ramai. Di sinilah suasana kehangatan kekeluargaan sempena Pertengahan Musim Luruh disemarakkan dalam semangat tradisi dan kebersamaan,” katanya.
Sorotan malam tersebut ialah persembahan memukau daripada BSY Cultural Arts yang menampilkan 40 gendang oriental, diikuti pertunjukan bunga api yang menerangi langit Bukit Bintang. Ribuan pengunjung turut serta dalam perarakan tanglung yang diketuai lebih 30 pasukan tarian singa serta naga LED, menghasilkan suasana penuh warna-warni di jalanan. Lebih 1,000 tanglung dan bendera Malaysia diagihkan kepada orang ramai bagi menyerikan lagi sambutan yang mencerminkan kepelbagaian budaya negara.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari, termasuk permainan interaktif, bengkel kraf, persembahan pentas, cabutan bertuah dan pemberian hadiah percuma. Artis-artis popular 8TV seperti Owen Yap, Gary Yap, Ching Yee, Natalie Xiao Yu, Orange Tan, Rickman Chia, Charlotte Seow, Victoria Ng, Yee Jie dan Houson Ng, serta penyampai Eight FM Kyan dan Ke Qing, bersama Diorlying dan Go Hell Holiday turut hadir memeriahkan acara serta beramah mesra dengan pengunjung.
Menambahkan lagi kemeriahan, Sungei Wang Plaza turut diraikan atas kejayaan tahun lalu apabila penganjuran Mid-Autumn Fun Under The Moon Lantern Parade menerima Anugerah Perak bagi kategori Best Experiential Marketing Awards 2023–2024 oleh PPK Malaysia. Majlis penyampaian anugerah turut diadakan sebelum pelancaran, dan menurut Encik Joseph, “Kami amat berbesar hati atas pengiktirafan ini dan berterima kasih kepada semua rakan industri, penyewa, dan pengunjung yang terus menyokong kami.”

Moonlit Blossom Lantern Parade dianjurkan oleh Sungei Wang Plaza dengan sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Tourism Malaysia. 8TV bertindak sebagai rakan media, Eight FM sebagai stesen radio rasmi dan AirAsia Ride sebagai perkhidmatan pengangkutan rasmi.
Rakan acara lain termasuk JUMPA, KL Hop On Hop Off dan BSY Cultural Arts, dengan tajaan daripada Magnum, Cuckoo, Wonderlab, The Batik Shop, Taste of Asia, Mixue, HWC Coffee, Beryl’s Chocolate dan Saudi Burger.
