Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 – Sebuah drama bersiri terbaru yang mengangkat isu pengorbanan terlarang dalam masyarakat Islam bakal disiarkan di iQIYI bermula 25 Oktober 2024. Drama berjudul Senyawa ini mengisahkan tentang konflik rumah tangga dan pengorbanan yang melibatkan isu ibu tumpang, yang jarang dibincangkan dalam masyarakat.
Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, dan Siti Hariesa, serta arahan pengarah berpengalaman, Eyra Rahman. Senyawa memfokuskan kisah Zabrina (Trisha Ooi), seorang wanita perniagaan berjaya yang menghadapi tekanan hidup selepas keguguran dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’. Kecewa dengan desakan ibu mertuanya, Zabrina mengambil keputusan untuk mencari ibu tumpang, Lutfiyah (Siti Hariesa), bagi memenuhi hasrat mertuanya tanpa perlu dimadukan.
Trisha Ooi, yang memegang watak Zabrina, berkongsi cabaran besar dalam menghidupkan wataknya yang kompleks, yang berperang antara dominasi luar dan kerentanannya dalam hati. Shahz Jaszle, yang melakonkan suami Zabrina, Iskandar, pula menyentuh peranan penting suami dalam memimpin rumah tangga dan mengingatkan penonton tentang nilai agama yang perlu dipertahankan. Siti Hariesa, yang membawakan watak Lutfiyah, menyatakan banyak pengajaran yang boleh diambil dari drama ini, terutamanya tentang ketelusan dalam perhubungan dan pentingnya mempertahankan yang halal.

Menurut pengarah, Eyra Rahman, Senyawa mengangkat isu berat mengenai hukum halal dan haram, serta bagaimana desakan hidup boleh mempengaruhi keputusan seseorang. Ini merupakan drama yang mengajak penonton berfikir tentang akibat daripada tindakan yang melanggar norma agama demi kepentingan peribadi.
Drama ini akan ditayangkan setiap Jumaat dan Sabtu, pukul 9:00 malam di iQIYI, dan diharap dapat memberikan hiburan serta pengajaran berguna kepada penonton. Pihak pengurusan iQIYI Malaysia juga berharap agar Senyawa dapat dinikmati oleh penonton sambil memberikan kesedaran tentang kepentingan menghormati hukum agama dalam kehidupan seharian.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama Senyawa bermula 25 Oktober 2024, hanya di iQIYI!
