Raisa Bakal Hadir Dengan Konsert Teristimewa di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2024 – Kharisma Music, syarikat penganjur konsert yang terkenal, mengumumkan konsert yang paling dinantikan, ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ akan berlangsung pada 3 November 2024 di Megastar Arena, KL, bermula jam 8:00 malam.

Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny, menyatakan bahawa mereka sangat teruja dengan kehadiran penyanyi popular dari Indonesia, Raisa. “Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik yang hebat, tetapi juga peluang untuk merasai keindahan muzik Raisa secara langsung,” katanya.

Raisa sendiri menyatakan, “Ini konsert yang benar-benar ‘teristimewa’ buat saya dan anda semua. Segala persediaan dilakukan secara langsung oleh saya sendiri bersama pasukan, dan ia pasti berbeza dari konsert-konsert sebelumnya di KL!”

Dikenali menerusi single pertamanya ‘Serba Salah’ dari album sulungnya pada tahun 2011, Raisa telah meraih pelbagai anugerah termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15. Dengan vokal yang mengagumkan, Raisa terus memikat hati jutaan peminat di seluruh rantau Asia.

Konsert ini adalah sebahagian daripada jelajah muzik Raisa yang sangat dinanti-nantikan, di mana beliau akan mempersembahkan lagu-lagu hit seperti ‘Kali Kedua’, ‘Jatuh Hati’, dan ‘Mantan Terindah’. Penonton akan disajikan dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, termasuk persembahan melebihi 20 buah lagu serta kerjasama dengan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

Konsert ini dijadualkan berlangsung lebih dari dua jam, lengkap dengan reka bentuk pentas yang menarik dan kesan audio visual yang ‘teristimewa’. Pembeli tiket VVIP dan VIP juga berpeluang untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’.

“Ini adalah peluang luar biasa bagi semua peminat Raisa untuk menyaksikan sendiri persembahan ‘teristimewa’ yang pasti akan mencipta memori indah. Dapatkan tiket-tiket konsert dengan segera sebelum kehabisan, dan nantikan hiburan seterusnya dari Kharisma Music,” tambah En. Ahmad Jeffny.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat penerbangan Garuda Indonesia yang menaja penerbangan, serta rakan penaja lain seperti Alha Alfa, Intan Gelombang, dan Futurace, serta rakan radio rasmi, ERA dan rakan media rasmi, Gempak.com.

Untuk makluman, tiket-tiket ke konsert ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ sudah pun mula dijual sejak 9 September 2024 di laman web ticket2u.com.my/raisa dan hanya berbaki sedikit sahaja lagi.

Leave a comment