Kuala Lumpur, 17 Oktober 2024 – Astro akan mempersembahkan drama terbaru berjudul ‘Andai Tiada Dia’, yang mengisahkan tentang konflik dalam rumah tangga. Drama ini akan ditayangkan mulai 21 Oktober 2024, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
‘Andai Tiada Dia’ adalah hasil karya Global Station, menggambarkan kehidupan sepasang suami isteri yang berdepan dengan dilema mendapatkan anak, serta konflik cinta terlarang antara seorang adik dan abang ipar. Selain itu, drama ini juga menggambarkan ketabahan seorang wanita menghadapi pengkhianatan dalam perkahwinan, membawa penonton melalui pelbagai emosi dalam setiap konflik yang ditonjolkan.

Drama ini terdiri daripada 36 episod dan diarahkan oleh Riza Baharudin. Antara pelakon terkenal yang membintangi drama ini ialah Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, dan Zahiril Adzim.
Sinopsis: Suri (Ummi Nazeera) dan Haikal (Hisyam Hamid) telah berkahwin selama tujuh tahun tetapi belum dikurniakan cahaya mata. Kehadiran Luqman dalam hidup mereka mencetuskan ketidakpuasan hati Haikal, yang merasa tersisih. Dalam pada itu, Haikal menjalin hubungan istimewa dengan Intan (Mimi Lana), adik Suri yang tinggal bersama mereka. Kecurangan Haikal akhirnya terbongkar, dan Suri memilih untuk melepaskan Haikal demi Intan.
Setelah perceraian, Suri disahkan mengandung. Apabila Haikal mengetahui berita itu, dia berusaha untuk memujuk Suri kembali. Pada waktu yang sama, Falah (Zahiril Adzim) sentiasa ada untuk membantu Suri dalam kesusahan.

Saksikan perjalanan emosi dan konflik ini dalam ‘Andai Tiada Dia’, bermula 21 Oktober di Astro Ria.
