Joker: Folie à Deux (2024) merupakan filem muzikal psikologi arahan Todd Phillips, yang juga merangkap penulis skrip bersama Scott Silver. Filem ini merupakan sekuel kepada Joker (2019), berdasarkan watak komik DC, dengan Joaquin Phoenix kembali membawakan watak utama sebagai Joker. Lady Gaga menyertai pelakon utama sebagai Harley Quinn, watak kekasih Joker. Pelakon lain seperti Zazie Beetz turut kembali dari filem pertama, manakala Brendan Gleeson dan Catherine Keener menambah variasi kepada barisan pelakon. Filem ini diterbitkan oleh Warner Bros. Pictures dan DC Studios, dengan kerjasama Joint Effort.
Bagi mereka yang belum menonton filem pertama Joker, adalah digalakkan untuk menontonnya terlebih dahulu sebelum menyaksikan sekuel ini. Plot Joker: Folie à Deux banyak bersandar pada peristiwa filem terdahulu, terutamanya yang melibatkan penjara dan perbicaraan di mahkamah. Jika anda terlupa butiran atau tidak ingat watak-watak penting dalam filem pertama, mungkin anda akan berasa keliru dengan jalan ceritanya.

Namun begitu, aspek muzikal dalam filem ini mungkin akan menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah penonton. Babak-babak yang sepatutnya menyentuh emosi kadangkala diganggu oleh elemen nyanyian, menjadikan filem ini terasa aneh. Muzik jazz yang mendominasi beberapa bahagian filem mungkin membuatkan penonton yang kurang meminati genre itu berasa janggal dan lama menunggu babak-babak penting.
Selain itu, filem ini kelihatan terlalu “kartun” dalam cara ia menggambarkan kegilaan Joker dan Harley Quinn. Berbanding filem pertama yang lebih fokus kepada emosi mendalam Joker dan kisah tragisnya, Joker: Folie à Deux kelihatan cuba mengangkat watak-wataknya ke arah kegilaan yang lebih “komikal”. Ini mungkin membuatkan sesetengah penonton merasa kurang terikat dengan emosional filem ini. Tambahan pula, babak seperti letupan mahkamah yang berlaku secara tiba-tiba seolah-olah tidak memberikan impak yang cukup kuat kerana tiada pembangunan emosi atau naratif yang menyokongnya.

Dari segi klimaks, filem ini juga tidak begitu mengujakan. Tiada dorongan adrenalin seperti yang terdapat dalam filem pertama, dan perasaan itu mungkin lebih ketara jika menontonnya di rumah berbanding di pawagam. Jalan ceritanya dilihat seperti memaksa penonton untuk benar-benar memahami transformasi Joker, namun kadangkala ia terasa terlalu dipaksakan dan memerlukan penonton untuk berfikir secara mendalam.
Secara keseluruhan, Joker: Folie à Deux mungkin bukan untuk semua orang, terutamanya mereka yang mengharapkan kesinambungan dari filem pertama yang lebih berat dengan perasaan. Elemen muzikal dan komikal yang dicampur aduk mungkin memberikan rasa kurang puas hati kepada penonton, lebih-lebih lagi bagi mereka yang lebih mengharapkan naratif yang mantap dan mendalam.
