KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2024 – Festival Animasi dan Komik, Anifest 2024 kembali dengan edisi kelapan pada 26 dan 27 Oktober di KL Gateway Mall, Bangsar South, Kuala Lumpur. Festival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang dijangka menarik ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang seni dan budaya.
Anifest 2024 dianjurkan oleh Persatuan Festival Seni Kreatif & TVET Malaysia dengan sokongan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Content Forum (CMCF). Acara ini memberi fokus kepada perkembangan seni kreatif melalui pendidikan TVET, termasuk komik, animasi, seni doodle, dan seni kraf, serta penerokaan teknologi baharu dalam penghasilan karya.

Menurut Pengerusi Anifest Malaysia, Mohd Zahir Zainal Abidin, Anifest tahun ini menekankan integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi membuka ruang kepada seniman dan kreator muda untuk menghasilkan karya yang inovatif dan tanpa batasan.
Antara program menarik yang menanti pengunjung termasuk:
- Pameran seni dan forum kreatif
- Bengkel komik dan kartun
- Pelancaran komik web baharu
- Pertandingan doodle
- Pasar buku dan komik terpakai
- Jualan produk seni
Acara ini akan dirasmikan oleh Dr. Muliyadi Mahamood, mantan Profesor Sejarah Seni dan Pengajian Seni Kartun dari Universiti Teknologi MARA. Dalam ucapan beliau bertajuk Integrasi Seni Kreatif Multidisiplin Dunia Seni, Dr. Muliyadi menekankan bahawa festival ini mencerminkan kepelbagaian seni moden yang merentas teknologi dan disiplin ilmu.
“Anifest adalah platform penting yang bukan sahaja memartabatkan seni kreatif, tetapi turut menyediakan ruang interaksi dan jaringan industri bagi komuniti seni. Tema tahun ini, Integrasi Seni Kreatif, mencerminkan cabaran dan peluang dalam menggabungkan estetika dengan elemen komersial, kemanusiaan, dan kerohanian,” katanya.
“Anifest 2024 adalah tempat terbaik untuk pengunjung menghargai seni kreatif tempatan dan antarabangsa sambil memberi peluang kepada seniman memperkenalkan karya mereka kepada umum,” tambah Mohd Zahir.
Festival ini terbuka secara percuma kepada semua pengunjung dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang. Anifest 2024 bukan sekadar sebuah festival, tetapi satu usaha memperkukuh ekosistem seni kreatif dan memupuk minat terhadap seni animasi dan komik di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Anifest 2024 anifestmalaysia.asia atau ikuti media sosial Anifest Malaysia.
