Petaling Jaya, 30 Oktober 2024 – Filem terbaru Tonton Original, Raja Naga, yang menggabungkan elemen thriller dan mistik, akan mula ditayangkan bermula hari ini, bersempena dengan perayaan Deepavali. Karya arahan pengarah berpengalaman, Azizi ‘Chunk’ Adnan, ini dijangka menjadi pilihan menarik untuk tontonan seisi keluarga.
Raja Naga mengisahkan Raja, seorang penghantar makanan yang hidup dalam kesulitan, terpaksa menjaga ibunya yang lumpuh dan menghidap kanser. Dalam usaha mencari penyelesaian untuk membayar hutang sewa rumah, Raja terpaksa menggadai motosikal kesayangannya. Namun, dia menerima bantuan daripada rakan-rakannya, Ali dan Bell, yang membantunya membeli motosikal terpakai. Tanpa mereka ketahui, motosikal itu menyimpan misteri dan kuasa luar biasa dari roh penunggang asal yang bangkit semula. Kuasa tersebut tidak hanya mengubah hidup Raja, tetapi juga membolehkan dia menjadi wira yang membanteras jenayah di komuniti.

Menurut Azizi ‘Chunk’ Adnan, filem ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia membawa mesej tentang kekuatan, pengorbanan, dan keberanian melawan cabaran hidup. “Raja Naga menggambarkan sisi kemanusiaan dan keberanian yang jarang kita lihat dalam penceritaan aksi,” katanya.
Sivasanthiran membawa watak Raja dengan penuh emosi, manakala Scha Elinnea memerankan Sari, gadis ceria yang memberi warna dalam hidup Raja. Hazama pula muncul sebagai Johnny, seorang taiko geng gelap yang kejam. Dengan barisan pelakon berbakat, Raja Naga menjanjikan aksi yang mendebarkan serta elemen emosi dan humor yang memikat.
Filem ini juga mengangkat tema kesetiaan kepada keluarga dan keberanian melawan ketidakadilan, dengan Raja menggunakan kuasa misteri dari motosikal itu untuk melindungi masyarakat, bukan untuk keangkuhan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Raja Naga secara eksklusif di platform Tonton di http://www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store, serta strim di Smart TV bermula 30 Oktober 2024.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial Tonton di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram @tontonmy.
