Aizat Amdan Terapkan Semangat Juang Muay Thai Dalam Single “Tegap Berdiri”

Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan, mencuri perhatian peminat apabila mencipta single terbaharu berjudul “Tegap Berdiri” yang diinspirasikan oleh sukan Muay Thai. Single ini merupakan hasil kerjasama Aizat bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, diterbitkan oleh Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Bercerita mengenai perjalanannya dalam sukan Muay Thai, Aizat mengakui telah lama meminati sukan tersebut sejak tahun 2015 dan mula berlatih secara serius hingga berani menyertai perlawanan pertamanya pada 12 Oktober lalu. “Saya tidak pernah terfikir untuk bertanding, tetapi apabila jurulatih memberitahu saya sudah bersedia, saya mencabar diri untuk ‘fight’,” katanya.

Lagu “Tegap Berdiri” mencerminkan semangat juang yang ditonjolkan Aizat dalam kedua-dua bidang seni dan sukan. Menurut Aizat, lirik lagu ini tercetus secara tidak sengaja semasa sesi podcast bersama Mel dan abang beliau, Amar. “Mesej lagu ini adalah tentang perjuangan dalam hidup, kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah, tetapi yang penting adalah untuk tetap ‘tegap berdiri’ dan terus maju ke depan,” ujarnya.

Berbeza dari lagu-lagu sebelumnya, Aizat memilih untuk memperkenalkan genre ‘City Pop’ yang popular di Jepun pada era 80-an, namun diolah dengan sentuhan moden untuk memberi nafas baru kepada penggemar muzik. Aizat menamakan gaya ini sebagai “KL-City Pop” dan berharap lagu ini dapat memberi semangat kepada pendengarnya, terutama ketika mereka berdepan cabaran dalam kehidupan.

Selain lagu, Aizat turut melancarkan sebuah video muzik (MV) yang berkonsepkan cereka pendek, menggambarkan perjalanan beliau dari awal latihan Muay Thai hingga ke perlawanan pertamanya. MV ini menekankan usaha keras, cabaran fizikal dan mental yang dihadapi dalam dunia sukan.

Aizat berharap “Tegap Berdiri” dapat memberi inspirasi kepada pendengar untuk mencabar diri mereka, walaupun menghadapi kegagalan, untuk terus bangkit dan berjuang. Lagu ini kini boleh dimuat turun di iTunes dan didengari di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala MV rasmi boleh ditonton di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.

Leave a comment